Pengajaran daripada Tentera Bergajah

 

1. Ketika serangan Abrahah berlaku, Qurasyh lari ke bukit menyelamatkan diri mereka. Menurut Sayed Qutb, perkara ini menunjukkan bahawa Allah berkehendakkan orang yang memelihara agama Allah itu adalah dari tangan-tangan yang bersih, bukan mereka yang menyekutukan Allah. Allah mengaktifkan sistem pertahanan yang tidak disangka iaitu datangnya burung yang memelihara rumah Allah.

2. Dengan sebab itu Rasulullah mengingatkan kita bahawa yang akan membuka Constantinople adalah sebaik-baik pemerintah dan sebaik-baik tentera. Allah berkehendakkan kepada pejuang yang tulen dalam menegakkan agamaNya.

3. Penggunaan lafaz ‘kayfa’ (bagaimana) dalam ayat pertama menunjukkan bagaimana Allah ingin kita melihat “bagaimanana” peristiwa tersebut berlaku, bukan sekadar “apa” yang berlaku. Kita diajak berfikir akan “bagaimana” tentera bergajah tewas dengan batu-batu kecil yang dibawa oleh burung yang jauh lebih ringan dan kecil dari gajah.

4. Menurut Ibn Ishaq, Abarahah dikatakan sempat lari dan menyelamatkan diri ke San’a. Dagingnya terlerai satu persatu, gugur dihadapan penduduk Yaman. Ianya adalah satu pengajaran bagaimana Allah menghukum penentang agama. Kebiasaannya tentera yang tewas akan menghantar tentera balas apabila mereka kalah perang. Namun kematian Abrahah dihadapan penduduk San’a menggerunkan mereka sehingga tiada serangan balas berlaku.

5. Sayyid Qutb menegaskan bahawa Allah mengutuskan seorang Rasul bagi membangunkan Arab itu serta membersihkan mereka dari kufur dan syirik. Dengan Islamlah mereka bangkit, dan dengan Islam lah mereka dijulang. Surah ini mengingatkan kita bahawa datuk moyang mereka hanyalah mereka yang lari ke gunung-gunung apabila berhadapan dengan musuh.

Maka apalah nilai Arab di sisi Allah tanpa Islam? Apakah nilai kita di sisi Allah tanpa Islam?

Dr Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts