Pengamal media tempatan perlu jujur, telus lapor isu Gaza

KUALA LUMPUR: Pengamal media tempatan perlu melaporkan berita keganasan Israel terhadap rakyat Palestin dengan telus dan tepat berbanding media barat yang didakwa menyampaikan berita palsu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar berkata, isu keganasan di Palestin bukan hanya isu agama sebaliknya merupakan isu kemanusiaan.

“Sehubungan itu, pengamal media perlu melaporkan secara adil dan jujur dalam usaha untuk menggalakkan pemahaman tentang isu yang dihadapi di Palestin.

“Dengan melaporkan isu keganasan yang berlaku di Palestin secara adil, ia dapat menyumbang kepada keadilan dan mencegah keganasan yang berlaku,” katanya di Pusat Penyiaran TV Al-Hijrah di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir dalam Wacana Pengamal Media: Solidariti Palestin di tempat yang sama.

Turut hadir dalam wacana itu ialah Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee; aktivis Palestin, M. Sahool Hammed; Mantan Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia (IRM), Zairulshahfuddin Zainal Abidin; Pengarah Asia Middle East Center (AMEC) Penyelidikan dan Dialog, Dr. Muslim Imran dan  pengamal media dari pelbagai agensi.

Mohd. Naim berkata, pengamal media perlu mendedahkan fakta di setiap platform yang tersedia agar pencerobohan, ketidakadilan dan tindakan tidak berkemanusian yang berlaku di Gaza hari ini dapat disaksikan seluruh dunia.

Dalam perkembangan sama, Zairulshahfuddin berkata, pengamal media sangat penting kerana ia mampu mempengaruhi orang yang mendengar dan melihat khususnya yang berlaku di Palestin.

“Pihak kami sedia membantu dalam memberikan fakta-fakta yang tepat berkaitan isu keganasan yang lama berlaku sehingga hari ini.

“Kekuatan kami mungkin di lapangan tetapi kemampuan pengamal media mampu mempengaruhi semua orang melalui saluran yang tepat agar lebih mengetahui mengenai perkara sebenar,” katanya. -UTUSAN

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts