Penggunaan ‘bin Abdullah’ tindakan munasabah JPN: Peguam Kanan Persekutuan

 

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan semalam, diberitahu yang Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengambil tindakan yang munasabah ketika menggunakan ‘Abdullah’ bagi mendaftar nama dalam sijil kelahiran seorang kanak-kanak tidak sah taraf.

Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan, berkata demikian ketika berhujah dalam rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan semakan kehakiman pasangan suami isteri dan anak lelakinya untuk memastikan Ketua Pengarah JPN menukar perkataan ‘Abdullah’ sebagai bin untuk nama kanak-kanak itu kepada nama bapanya dalam sijil kelahiran.

Prosiding didengar hadapan panel lima hakim, diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif, yang bersidang bersama Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Aziah Ali dan Datuk Seri Balia Yusof Wahi.

Suzana berhujah, JPN membuat keputusan itu bersandarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 1981 dan 2003, berhubung penamaan anak tidak sah taraf.

“JPN tidak melangkaui bidang kuasa kerana merujuk fatwa itu sebelum mendaftarkan kanak-kanak terbabit. Penggunaan ‘bin’ atau ‘binti’ mengunakan nama biologi bapa dibolehkan jika anak yang dilahirkan itu melalui perkahwinan yang sah atau cukup takwim Qamariah.

“Muzakarah sudah memutuskan bahawa anak zina atau anak luar nikah (tidak sah taraf), sama ada diikuti dengan perkahwinan ibu bapa atau tidak, hendaklah dibin atau dibintikan Abdullah,” katanya.

Suzana berkata, mereka yang beragama Islam adalah tertakluk kepada undang-undang umum yang digubal oleh Parlimen dan undang-undang Agama Islam negeri.

Berhubung,Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 membabitkan penggunakan nama keluarga atau keturunan, Suzana berkata, berdasarkan undang-undang kanak-kanak itu boleh mengunakannya.

“Bagaimanapun di dalam kes ini, kanak-kanak berusia tujuh tahun beragama Islam itu membuat permohonan mengikut seksyen itu dengan meletakkan nama bapanya sebagai nama keluarga.

“Nama bapanya itu bukan ditakrifkan sebagai nama keluarga atau keturunan. Oleh itu pengunaan bin atau binti mengikut prinsip undang-undang Islam hanya boleh digunakan kanak-kanak yang sah taraf,” katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang menjadi pencelah bagi mewakili Jabatan Agama Islam Negeri Johor berhujah bahawa Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika membuat keputusan itu dan mengabaikan undang-undang Islam.

“Mahkamah Rayuan terlalu beremosi apabila membuat keputusan itu hingga meletakkan kanak-kanak itu sama taraf dengan kanak-kanak bukan muslim.

“Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 tidak boleh diguna pakai untuk mendaftar kanak-kanak Islam. Mahkamah Syariah adalah forum yang sesuai dan terbaik untuk berhujah berhubung isu ini,” katanya.

Sementara itu, peguam K Shanmuga, yang mewakili ketiga-tiga responden (ibu bapa dan kanak-kanak terbabit) berhujah, tiada sebab yang rasional atau kukuh untuk mengaibkan kanak-kanak itu dengan mengatakan dia anak tidak sah taraf.

“Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang betul ketika membenarkan rayuan ketiga-tiga responden. Perlembagaan Persekutuan terpakai kepada semua, apatah lagi ia membabitkan kebajikan kanak-kanak. Ini bukan kes yang sesuai untuk Mahkamah Persekutuan campur tangan atau mengubahnya.

“Badan penggubal undang-undang secara jelas bertujuan menjadikan Seksyen 13A, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 diguna pakai oleh orang Islam dan bukan Islam,” hujahnya.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan keputusan bagi kes itu pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Mahkamah Rayuan pada 25 Mei tahun lalu membenarkan rayuan pasangan suami isteri dan anak lelakinya dalam permohonan semakan kehakiman difailkan mereka untuk memastikan Ketua Pengarah JPN menukar perkataan ‘Abdullah’ sebagai bin untuk nama kanak-kanak itu kepada nama bapanya dalam sijil kelahiran. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts