Penghayatan iman mengisi kekosongan jiwa

1911547_1_22

 

Korea Selatan telah mencipta kemajuan yang menjadi fenomena paradoks yang wajar diteladani dari segi kemandirian, disiplin, tertib, kreativiti dan semangat bekerja rakyatnya. Kemajuan mereka terlahir akibat ketakutan yang selalu membayangi rakyatnya dengan kekhuatiran atas serangan dari Utara.

Bayang-bayang perang pada 1950 – 1953 yang berakhir dengan gencatan senjata masih menjadi perbualan dan persoalan. Positifnya, rakyat Korea Selatan membela habis-habisan kepentingan negaranya. Mengimbas krisis kewangan yang membadai Asia pada 1997, rakyat Korea Selatan bersatu mengumpul seluruh perhiasan dan simpanan emas seberat 227 tan untuk disumbangkan kepada negara hingga akhirnya, semua hutangnya kepada Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dilunasi seluruhnya.

Cerita kehebatan Korea Selatan seakan-akan tidak pernah habis. Dari konglomerat dan raksasa automotif hinggalah kudapan kimchi, lentuk K-Pop dan K-dramanya. Lihat juga rangkaian pilihan produk jualan di stesen televisyen home shopping, hampir 70 peratus adalah produk inovasi ciptaan Korea Selatan.

Hebat tapi gelisah

Tetapi, di sebalik semua itu, tersembunyi kegelisahan besar. Mengapa? Pada pertengahan Mei lalu, dunia terkejut apabila berlakunya pembunuhan kejam oleh seorang lelaki berusia 34 tahun (dikenali sebagai Kim) ke atas seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah tandas awam di Gangnam Station Exit 10.

Rupa-rupanya Gangnam yang selama ini digembar-gemburkan sebagai tempat paling selamat di Seoul – selain Hongdae, Myeongdong dan Insadong – menjadi mimpi ngeri pengunjung. Imej Seoul sebagai bandar raya ke-24 paling selamat di dunia (kajian Economist Intelligence Unit, 2015) juga rosak teruk.

Siasatan awal polis mendapati, motif pembunuhan tersebut disebabkan pembunuh sakit hati dan dendam kesumat gara-gara sering mendapat layanan buruk (baca: tidak dipedulikan) berkali-kali oleh ramai wanita sebelum ini. Ironinya, mangsa dan pembunuh tidak pernah saling mengenali, malah tidak pernah berjumpa melainkan hanya ketika kejadian malang itu.

Selepas disoal siasat, pembunuh disahkan menghidap jungshinbunyeolbyung atau skizofrenia (gangguan jiwa) dan pernah dimasukkan ke hospital sebanyak enam kali sejak 2008. Hingga kini, demontrasi aman masih berjalan di Gangnam Station Exit 10 dan simpatisan menyusun dan melekatkan nota belasungkawa, sekali gus berkongsi simpati ke atas mangsa dan seterusnya menggesa kerajaan meningkatkan keselamatan ke atas wanita di negara itu.

Rupa-rupanya kemajuan fizikal bukanlah kayu pengukur kehebatan walaupun mereka amat terkenal dengan teknologi dan inovasi yang berjaya dieksport ke seantero dunia. Kajian pascainsiden itu menunjukkan, ada 500,000 pesakit skizofrenia di Korea Selatan, dan 104,000 daripadanya konsisten datang ke hospital untuk dapat rawatan.

Korea Selatan juga terkenal sebagai negara sering berlaku kes bunuh diri. Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan, Korea Selatan di tangga kedua kes bunuh diri tertinggi (selepas Guyana) dengan purata 28.9 kes bunuh diri setiap 100,000 penduduk (38.4 kes bunuh diri babitkan lelaki dan 16.1 kes babit wanita).

Kematian akibat bunuh diri juga penyebab nombor satu kematian di Korea Selatan. Angka ini rupanya menunjukkan ada rakyat Korea Selatan tidak mengecapi kebahagiaan dan ketenangan. Realitinya, jiwa mereka sakit kerana berlumba-lumba menjadi yang terbaik dan terhebat dari segi fizikal dan luaran.

Pergolakan jiwa

Bandingkan dengan Afrika yang jauh lebih rendah dalam soal pergolakan jiwa walhal negara itulah yang terus-menerus dilanda peperangan, konflik, kelaparan dan penyakit yang mematikan. Apakah tidak cukup segala teknologi, hiburan dan keselesaan hidup – dibandingkan negara lain yang situasinya tidak kondusif untuk layak meneruskan kehidupan?

Selama ini, ramai berteori bahawa kemajuan sebuah negara dan bangsa itu ditandai oleh kemajuan perekonomian, kecanggihan teknologi, kepatuhan terhadap undang-undang, ketertiban sosial dan tingkat kemakmuran warganya. Namun, sebaliknya fenomena ini boleh dilihat sebagai tanda kemunduran. Jawapan ringkasnya adalah mereka kekosongan jiwa.

Bila manusia telah kosong jiwanya, bererti ia tidak lagi mampu memaknai tindakan, fikiran dan perasaannya. Di sini Islam memberikan solusi. Fitrah insani seorang manusia dicanai seutuhnya lewat proses Ramadan. Maka atas sebab itulah tatkala genap sebulan Ramadan, kita sambut Aidilfitri (kembali semula kepada fitrah).

Justeru, seorang Muslim perlu sentiasa mensyukuri nikmat iman dan Islam yang Allah anugerahkan yang jika dihayati seutuhnya; ternyata mampu mengisi kekosongan jiwa, menenangkan hati yang resah gelisah, melindungi setiap anggota tubuh badan daripada melakukan kezaliman dan kemungkaran, selain menjadikan kita manusia lebih teguh di atas keyakinan.

Memetik kata-kata sinis Cak Nun (Emha Ainun Nadjib) ketika kembara dakwahnya di Semenanjung Korea: “Ini yang membuat orang Korea bingung. Mereka bisa membangun gedung, bisa membangun jalan tol, bisa membuat hukum yang baik, tetapi nanti kalau sudah selesai bekerja, mereka bingung. Nanti kalau sudah mati ke mana? Kan tidak ada kejelasan, mereka tidak ada pengetahuan mengenai itu. Tidak ada teori, tidak ada ajaran dan tidak ada perspektif: Itu yang membuat mereka stres. Bagi mereka ini sudah selesai, pembangunan sudah top. Korea ini sudah hebat, tetapi untuk apa ini semua? Nanti kalau ada gempa, habis semua ini.”

Datuk Badli Shah Alauddin
Penulis adalah Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, Jabatan Agama Islam Pahang

Sumber: http://www.bharian.com.my/node/166379

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts