Penghinaan Terhadap Jata Negara – Pihak Yang Terlibat Patut Didakwa Atas Akta Hasutan

 

NEGARA sekali lagi riuh rendah dengan isu sebuah buku yang kulit depannya telah mencetuskan perasaan tidak puas hati dan kemarahan rakyat Malaysia.

Buku bertajuk Rebirth, yang disusun oleh Kean Wong (https://www.facebook.com/kean.wong.733) memaparkan lukisan/grafik/logo yang menyerupai lukisan/grafik/logo Jata Negara tetapi di dalam bentuk dan lakaran yang provokatif, sensasi dan sensitif.

Banyak pihak, setelah menyedari kewujudan lakaran ini di dalam promosi buku berkenaan, telah menyuarakan bantahan, teguran dan ketidakpuasan hati mereka, termasuk membuat laporan polis.

Pertubuhan-pertubuhan bukan-kerajaan, parti-parti politik dan pemimpin-pemimpinnya, pensyarah universiti, peguam, pertubuhan-pertubuhan sivil, tokoh-tokoh dan orang-orang perseorangan serta Netizen telah bangkit menyuarakan pendirian dan ketegasan mereka terhadap satu lagi usaha untuk menyemarakkan sentimen-sentimen yang boleh memecahbelah dan mengkucar-kacirkan keamanan dan keharmonian masyarakat.

Ini bukan kali pertama perbuatan-perbuatan seumpama ini dilakukan.

Lakaran pada buku Rebirth benar-benar menyalahi Seksyen 3 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414) di mana hukuman terhadap perlanggaran Akta ini telah diperuntukkan di bawah Sekyen 5 Akta (Pindaan 2017) iaitu denda sehingga RM20 ribu atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Ramai yang menuntut supaya tindakan diambil terhadap pihak penerbit dan penyusun buku Rebirth berkenaan dan terdapat justifikasi untuk itu.

Bagaimanapun, saya berpandangan bahawa pihak yang terlibat dalam pelakaran grafik Jata Negara yang “baru” itu patut dan lebih sesuai didakwa di bawah Akta Hasutan 1948, yang peruntukan-peruntukannya lebih spesifik dan jelas.

Sedikit rujukan mengenai Jata Negara:

https://www.malaysia.gov.my/portal/content/137?language=my

http://www.istiadat.gov.my/…/47-sejarah-dan-perbezaan-jata-…

https://ms.wikipedia.org/wiki/Lambang_negara_Malaysia

Negara sebelum ini pernah digegarkan dengan beberapa insiden yang melibatkan Jalur Gemilang, iaitu salah satu simbol dan identiti negara Malaysia. Terkini, lakaran Jata Negara yang diselewengkan ini pada pandangan saya, adalah satu kesinambungan kepada usaha-usaha untuk mempersenda, memperlekeh dan menghina (humiliate) simbol dan identiti kebangsaan rakyat Malaysia yang diwakili oleh Yang DiPertuan Agong sebagai lambang Ketua Negara Malaysia. Tindakan ini juga boleh dianggap sebagai satu provokasi halus terhadap kedaulatan negara dan juga institusi Diraja serta kerajaan Malaysia sendiri.

Sekiranya ada yang membalas: Kena baca dulu isi kandungan buku tersebut sebelum membuat apa-apa rumusan atau kesimpulan.

Saya akan membalas: Dalam kes ini, tidak perlu pun membaca apa yang ditulis atau isi kandungan buku tersebut. Saya tidak akan menggunapakai perumpamaan bahasa Inggeris yang berbunyi ’Don’t Judge a book by its cover’ sebab kulit buku itu sendiri adalah punca masalah dan kontroversinya. Kulit buku itu sendiri sudah melambangkan apa isi kandungan buku tersebut.

Kalau ingin menyentuh isu kandungan buku di atas, ia tidak berbeza daripada format laporan SUHAKAM terhadap situasi hak asasi di Malaysia, atau tulisan-tulisan dari kumpulan G25, atau Sisters In Islam dan juga karya-karya puak liberal sekular di negara ini.

Tidak ada perkara-perkara baru, menarik atau istimewa pun di dalam penulisan-penulisan gerombolan ini. Plot dan jalan ceritanya serta naratif yang dipaparkan sudah dapat dijangka (predictable). Bahan-bahan yang dikitar kembali (recycled) dari penulis-penulis yang sudah tidak relevan.

Secara peribadi, saya menyokong mana-mana pihak membuat laporan polis berdasarkan Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Pindaan 2017). Bagaimanapun saya berpendapat bahawa undang-undang yang lebih sesuai adalah Akta Hasutan.

Antara peruntukan Akta Hasutan ialah:

Tafsiran

“menghasut” apabila dipakai bagi atau digunakan berkenaan dengan apa-apa perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan atau apa-apa benda lain menjadikan perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan atau benda lain itu sebagai yang mempunyai kecenderungan menghasut;

“penerbitan” termasuk semua perkara bertulis atau bercetak dan segala benda sama ada atau tidak serupa jenisnya dengan perkara bertulis atau bercetak yang mengandungi apa-apa gambaran yang boleh dilihat atau yang mengikut rupanya, bentuknya atau dengan apa-apa cara lain boleh menggambarkan perkataan atau gagasan, dan juga termasuk tiap-tiap naskhah dan keluaran semula atau keluaran semula substansial apa-apa penerbitan;

3. (1) Sesuatu “kecenderungan menghasut” ialah kecenderungan —

(a) bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan;

(d) bagi menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Yang di-Pertuan Agong atau rakyat Raja mana-mana Negeri atau di kalangan penduduk Malaysia atau penduduk mana-mana Negeri;

(e) bagi mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia;

Lakaran “baru” Jata Negara pada kulit buku Rebirth, pada pandangan saya, adalah lebih sesuai diletak di bawah teropong Akta Hasutan dan ia juga tidak termasuk di dalam pengecualian-pengecualian yang diperuntukkan di dalam Seksyen 3 (2).

Saya tidak akan terkejut sekiranya lakaran kulit buku Rebirth itu akan dipertahankan oleh segelintir pihak yang yang kononnya memperjuangkan kreativiti seni, kebebasan bersuara dan berkarya, menjunjung hak asasi individu serta meraikan perbezaan pandangan dan pendapat.

Kumpulan-kumpulan minoriti masyarakat Malaysia ini sering membawa naratif yang sama terhadap apa sahaja isu yang dianggap sebagai penghalang kepada perkembangan fahaman liberal sekular mereka. Isu-isu Islam, bahasa, agama, kaum, budaya, politik … semuanya akan di”bahas” dari sudut pandang ekstrimis dan sempit mereka, dipolemikkan dan dijaja ke merata tempat, hatta ke peringkat antarabangsa sekalipun, bertujuan semata-mata supaya agenda pencairan identiti bangsa dan jatidiri anak-anak watan (warganegara) tidak disekat atau dihalang.

Mereka tidak akan peduli sama ada tindakan-tindakan mereka akan menggoncangkan tonggak-tonggak utama negara atau meruntuhkan nilai-nilai agama/akhlak/moral yang luhur, yang menjadi pegangan masyarakat dan yang menjadi sumber penyatuan serta keharmonian rakyat selama ini.

Seperti yang dijangkakan, setakat penulisan ini, tidak/belum ada lagi apa-apa kenyataan atau bantahan dari parti-parti politik di blok pembangkang (kecuali dari satu dua cawangan Bersatu), Ngo-Ngo Islam (IKRAM, ABIM) dan organisasi-organisasi sivil seperti Suhakam, Majlis Peguam, Sisters In Islam, G25, Majlis Perundingan Agama Budha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST), Dong Ziao Jong, Hindraf, Malaysia Hindu Sangam, KL Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) dan seumpamanya.

Sama ada mereka di atas sedang berkhalwat dan bermeditasi di dalam gua ataupun isu Jata Negara bukanlah suatu perkara yang perlu disibukkan. Barangkali juga kalimat patriotisma mempunya tafsiran lain di sisi mereka.

Masyarakat dan rakyat Malaysia perlu bertegas dalam mempertahankan kedaulatan, identiti, simbol, jatidiri dan nilai-nilai tertinggi negara yang telah memayungi kesejahteraan semua pihak, dari Perlis hinggalah ke Sabah dan Sarawak.

Jata Negara adalah hakmilik berharga semua rakyat Malaysia, bukan untuk dijadikan objek penghinaan! – Mohd Luttfi

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts