KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyasarkan pengurangan kadar penagihan dadah sebanyak 50 peratus menjelang 2030 melalui pelaksanaan jihad bersepadu di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Zamakhshari Muhammad, berkata inisiatif ini akan diperluas selepas kejayaan projek rintis di Pasir Mas, yang dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, penghulu dan imam masjid.
“Selain itu, kami akan berbincang dengan beberapa agensi lain bagi memperkukuh lagi jihad bersepadu memerangi dadah,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Town Hall Keselamatan dan Perpaduan Negara Peringkat Negeri Kelantan di Dataran Muhammadi, malam tadi.
Beliau, yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kelantan, menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan gejala dadah dan akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk membanteras masalah ini dari akar umbi.
“Kita tidak mahu sekadar mengawal gejala, tetapi mahu menyentuh punca masalah demi membina negeri yang lebih selamat dan bermaruah untuk generasi akan datang. Semua pihak perlu berganding bahu kerana isu ini tidak mengenal warna parti politik, agama atau kaum,” katanya.
Sumber: BERNAMA
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam