Pengurusan kewangan menurut perspektif Islam

1545803_1199165280097566_2106965357666111370_n

MANUSIA SEBAGAI PENGURUS

Manusia diciptakan oleh Allah SWT untuk mentadbir dan menguruskan kehidupan mereka di dunia. Surah al-Baqarah ayat ke 29 menggambarkan satu tanggungjawab yang besar untuk dipikul oleh manusia khususnya umat Islam sebagai khalifah atau pentadbir alam ini. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.”

Semua ini adalah dengan satu tujuan iaitu mengharapkan redha serta rahmat Allah di dunia dan akhirat. Perancangan dan pengurusan kewangan juga adalah salah satu elemen di dalam kuasa pentadbir yang dirangkumkan bersama sifat khalifah seperti yang dinyatakan tadi.

Jika diperincikan, pengurusan kewangan amat penting bagi pembentukan kehidupan setiap individu, pembangunan masyarakat malah sehingga kepada pembinaan negara maju dan berjaya. Bagi setiap individu, keperluan kepada kewangan amat kritikal sehinggakan urusan harian menjadi keutamaan sepanjang masa demi memenuhi keperluan tersebut. Kelangsungan kehidupan semasa dan masa hadapan merupakan elemen yang diambil kira sebagai kepentingan untuk menguruskan kewangan secara terperinci dan teliti. Hakikat ini diterjemahkan pula kepada kelangsungan interaksi sosial di antara anggota masyarakat, yang mana melalui pengurusan kewangan yang sistematik, dapat menggalakkan kehidupan yang harmoni serta mewujudkan sistem ekonomi yang stabil di dalam sesebuah komuniti sosial di dalam negara kita.

Melihat lebih jauh ke hadapan, perkembangan dan pembangunan negara juga memerlukan kepada pengurusan kewangan dan aset yang cekap serta proaktif. Hanya melalui pengurusan dan perancangan kewangan yang sistematik, negara dapat dibangunkan dengan baik dalam memenuhi cita-cita serta impian negara bangsa yang membangun. Lihatlah penegasan Allah SWT di dalam Surah Yusuf ayat 47 – 48, mengenai peri pentingnya perancangan sebelum menghadapi sesuatu perkara dan bijak dalam menguruskan kehidupan agar tidak susah di kemudian hari.

“Dia (Yusuf) berkata: “Agar kamu bercucuk tanam tujuh tahun (berturut-turut) sebagaimana biasa; kemudian apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian setelah itu akan datang tujuh (tahun) yang sangat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari apa (bibit gandum) yang kamu simpan.”

ISLAM DAN PENGURUSAN KEWANGAN

Bertitik tolak dari salah satu elemen Maqasid Syariah yang digariskan iaitu Hifz Mal (penjagaan harta), Islam sememangnya meletakkan kepentingan untuk menjaga dan menguruskan kewangan dengan baik. Islam menggalakkan umatnya untuk menghasil, mengembang dan menggunakan harta dengan bijaksana dan tersusun. Malah, melalui harta yang dikurniakan kepada manusia, akan menjadi medan ujian kepada mereka sama ada terus merasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan ataupun berada di dalam kufur serta bongkak dengan kemewahan dunia yang sementara. Harta jugalah yang akan menjadi wasilah atau jambatan kepada kelestarian taqwa manusia kepada Allah SWT. Berpandukan kepada kewajipan yang diamanahkan oleh Allah SWT seperti zakat, nafkah, sedekah dan sebagainya, manusia dapat menjadikan harta itu pemangkin kepada jawapan syurga yang didambakan di akhirat kelak.

Menurut ruang lingkup Islam, harta dan kewangan merupakan alat untuk menjamin keselesaan dan kelangsungan hidup di dunia. Kehidupan dunia perlu dijalani dengan penuh hemah dan tanggungjawab untuk mencapai matlamat akhirat. Oleh itu, pengurusan yang baik, dapat menjamin kelangsungan hidup manusia dalam berkeluarga, bermasyarakat dan seterusnya memperolehi keberkatan dan rahmat dalam kehidupan. Di samping keperluan dunia, matlamat utama yang ingin dicapai sudah tentulah kejayaan akhirat yang abadi. Begitu juga harta dan kewangan adalah pemangkin kepada kejayaan ini. Maka, pengurusan harta yang bermatlamat dan mengikut kehendak syarak, akan memandu kehidupan manusia dengan baik dan mengikut acuan Islam, seterusnya mencapai matlamat redha dan rahmat Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan, (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu ialah pokok asal harta kamu. (dengan yang demikian), kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.”

(Surah al-Baqarah: 278 & 279)

Kegagalan manusia di akhirat adalah disebabkan kegagalan menuruti perintah Allah di dunia. Melalui ayat di atas, telah jelas pengharaman riba dan kesan daripada pengulangan mengamalkan riba. Sejak sekian lama manusia telah bergelumang dengan riba dalam sistem ekonomi dan kewangan. Acuan sistem kewangan telah diolah untuk mengejar keuntungan dunia semata-mata dan seterusnya umat Islam terus terjerumus ke lembah ancaman yang dijanjikan oleh Allah SWT akibat daripada tidak mengambil berat urusan halal dan haram di dalam aktiviti kewangan mereka. Fahamilah sabda Baginda Nabi SAW di dalam satu hadis yang bermaksud:

“Tidak akan berganjak kedua kaki seorang hamba pada Hari Kiamat sehingga ditanya tentang empat perkara: Tentang usianya pada apa dihabiskannya, tentang masa mudanya dan apa yang diperjuangkannya, tentang hartanya dari mana datangnya dan ke mana telah dibelanjakannya dan tentang ilmunya apa yang telah dibuatnya” (HR at-Tirmidzi: Hasan Sahih)

PILIHAN ATAU KEWAJIPAN

Hari ini, dunia telah pun memberikan pengiktirafan kepada sistem kewangan Islam. Pada masa kini, negara kita dilihat sebagai pelabuhan kewangan Islam yang sangat berkembang dan bergerak maju ke hadapan. Dari itu, hal ini merupakan penyelesaian yang paling tepat dan mudah bagi umat Islam khususnya di negara kita untuk menjalankan urusniaga dan menguruskan kewangan secara sistematik serta patuh syariah. Tiada lagi alasan bagi umat Islam untuk mengelak daripada menyelesaikan masalah pengurusan kewangan mereka. Tiada lagi perkataan ‘darurat’ dan ‘terpaksa’ yang boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh umat Islam hari ini, kerana semuanya telah tersedia mengikut acuan al-Quran dan as-sunnah.

Dari aspek simpanan wang, pelaburan, takaful sehinggalah kepada pembiayaan modal perniagaan, semuanya mampu disediakan oleh sistem kewangan Islam. Aspek pengurusan kewangan peribadi seperti pelaburan untuk masa hadapan, takaful dan insurans nyawa untuk diri dan keluarga juga mampu ditawarkan, begitu juga untuk tujuan perbelanjaan yang melibatkan penggunaan kad debit dan kredit telah tersedia untuk kita manfaatkan dan pada masa yang sama beroleh keberkatan kerana membantu perkembangan sistem ini. Di samping aspek pengurusan kewangan untuk kelestarian hidup dunia pada masa hadapan, Islam turut memberikan peluang kepada umatnya melaksanakan pelaburan untuk kelestarian akhirat seperti sedekah dan wakaf. Amalan wakaf juga sebahagian daripada sistem ekonomi dan kewangan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada penyumbang, malah terus menerus membantu perkembangan ekonomi dan kebaikan sosial. Marilah kita jadikan kehidupan ini bukan sahaja baik untuk diri kita, malah dapat memberi manfaat kepada orang lain sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sebaik-baik kamu adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain..” (HR al-Bukhari & Muslim)

RESOLUSI PENGURUSAN KEWANGAN

Bagi mencapai pengurusan kewangan yang sistematik, perancangan tersusun amat diperlukan. Di sini dicadangkan lima (5) Resolusi Pengurusan Kewangan sebagai panduan bersama di dalam menguruskan kewangan secara sistematik, di antaranya:

Pertama: Menetapkan matlamat di dalam kewangan.

Penetapan matlamat kewangan akan mewujudkan aliran kewangan yang teratur dan tersusun tanpa sebarang gangguan terhadap sumber kewangan sedia ada. Hal ini akan mengelakkan daripada berlakunya pembaziran seterusnya mengawal selia perbelanjaan agar tidak berlebihan dan berbelanja untuk perkara yang tidak perlu. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya pembaziran itu adalah saudara kepada syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya”

(Surah Al-Isra’:27)

Kedua: Meningkatkan pengetahuan pengurusan kewangan

Melalui agensi pengurusan kewangan kerajaan dan swasta, terdapat pelbagai bentuk informasi dapat diperolehi. Malah, agensi tersebut juga menyediakan seminar dan kursus pengurusan kewangan dan hutang dalam usaha memberikan pendidikan kepada seluruh masyarakat. Di antara agensi yang terlibat seperti Unit Khidmat Nasihat Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Jabatan Insolvensi Malaysia. Adalah satu kebaikan jika institusi perbankan dan kewangan swasta turut sama memainkan peranan dalam menyediakan program dan aktiviti untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat terhadap pengurusan kewangan. Teruskan usaha untuk meningkatkan pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan yang akhirnya pengetahuan itu akan membantu menguruskan kewangan dengan baik.

Ketiga: Pengurusan hutang dengan bijaksana

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Barangsiapa yang mengambil harta manusia, dengan niat ingin menghancurkannya, maka Allah SWT juga, akan menghancurkan dirinya.” (HR al-Bukhari)

Setiap individu tidak akan terlepas daripada hutang-piutang seperti pembiayaan perumahan, kenderaan dan sebagainya. Oleh itu, berazamlah untuk melunaskan segala hutang- piutang kerana ianya bukan sahaja menjadi beban di dunia malah di akhirat.

Keempat: Menguruskan pelan pelaburan

Adalah tidak patut bagi mereka yang berharta untuk terus menyimpan sahaja tanpa ada usaha untuk mengembangkan harta tersebut. Harta perlu dikembangkan melalui beberapa kaedah yang disediakan seperti pelaburan dan sebagainya. Ini bertepatan dengan firman Allah di dalam Surah Yusuf yang bermaksud:

“Dia (Yusuf) berkata: “Agar kamu bercucuk tanam tujuh tahun (berturut-turut) sebagaimana biasa; kemudian apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan.”

Kelima: Melibatkan ahli keluarga dalam pengurusan kewangan

Firman Allah SWT di dalam Surah At-Tahrim, ayat 6 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya Malaikat-Malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”

Keterlibatan ahli keluarga terdekat adalah perlu untuk memastikan perancangan dan penyusunan kewangan menjadi teratur serta mencapai matlamat yang ditetapkan. Didiklah anak-anak untuk menyimpan daripada lebihan wang saku dan berbelanja untuk perkara yang perlu sahaja. Pada masa yang sama, bawa kepada pengetahuan keluarga tentang komposisi hutang piutang yang ada, sempurnakan wasiat agar dengannya semua proses pembahagian harta selepas peninggalan kita dapat dijalankan dengan sempurna.

FITNAH UMAT AKHIR ZAMAN

Marilah sama-sama kita merenung maksud hadis daripada Rasulullah SAW ini:

“Sesungguhnya setiap umat mempunyai fitnah, dan fitnah bagi umatku adalah harta” (HR at-Tirmidzi)

Harta adalah fitnah kepada umat Muhammad SAW, marilah kita seluruh masyarakat agar sentiasa bersedia dan berwaspada dalam menguruskan kewangan. Kesenangan bukan hanya untuk dunia, malah kesenangan itu yang akan membawa cahaya di akhirat. Berusahalah mengikut acuan Islam demi mencapai redha Allah SWT.

Ustaz Ahmad Fikri Mohd Paudzi
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Total
0
Shares
1 comment
  1. Anda tidak sepatutnya sewenang-wenangnya membiarkan aliran kewangan syarikat dibiarkan begitu sahaja dan tiada rekod aliran keluar dan masuk.

    Kami akan kongsikan beberapa tips mudah untuk anda mengurus kewangan syarikat dengan lancar!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts