Perancis Umum Hasrat Iktiraf Palestin, Cetus Kritikan Israel dan AS

PARIS/WASHINGTON, 29 Muharram – Presiden Emmanuel Macron mengumumkan bahawa Perancis akan mengiktiraf negara Palestin secara rasmi semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijadual berlangsung September ini.

French President Emmanuel Macron addressPresiden Perancis, Emmanuel Macron, berucap di Parlimen dalam Istana Westminster, London, pada hari Selasa, 8 Julai 2025.
Alastair Grant/Pool melalui REUTERS.

Pengumuman ini merupakan sebahagian daripada usaha Perancis untuk menyumbang kepada keamanan di Timur Tengah, namun ia telah mengundang bantahan keras daripada Israel dan Amerika Syarikat (AS).

Menerusi hantaran di platform X, Macron memaklumkan bahawa beliau turut mengutus surat kepada Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas, menyatakan komitmen Perancis untuk meneruskan langkah pengiktirafan tersebut dan mengajak negara lain untuk bersama-sama menyokong inisiatif itu.

“Sesuai dengan pendirian lama kami terhadap keamanan yang adil dan berkekalan di rantau ini, saya telah memutuskan untuk mengiktiraf negara Palestin. Pengumuman rasmi akan dibuat pada Perhimpunan Agung PBB pada bulan September nanti,” katanya.

Jika dilaksanakan, Perancis akan menjadi negara Barat utama pertama yang mengiktiraf Palestin, satu langkah signifikan memandangkan negara-negara yang sebelum ini berbuat demikian kebanyakannya adalah negara kecil yang bersikap lebih kritikal terhadap Israel. Langkah ini dijangka memberi impak besar terhadap gerakan sokongan terhadap Palestin.

Namun, keputusan ini menerima kecaman dari Tel Aviv dan Washington.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan tindakan Perancis itu sebagai “menggalakkan keganasan” dan “mewujudkan satu lagi proksi Iran.” Beliau berkata, pengiktirafan negara Palestin dalam situasi sekarang akan menjadikan wilayah tersebut sebagai pangkalan serangan terhadap Israel, bukannya untuk hidup bersama secara aman.

“Rakyat Palestin tidak mahu hidup bersebelahan dengan Israel; mereka mahu menggantikan Israel dengan negara mereka,” katanya di X.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz pula menyifatkan tindakan Perancis sebagai “memalukan” dan “tunduk kepada keganasan,” serta menegaskan bahawa Israel tidak akan membenarkan kewujudan entiti Palestin yang boleh mengancam keselamatan negaranya.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, turut mengecam pengumuman Macron. Dalam kenyataannya di X, beliau menyatakan AS secara tegas menolak rancangan itu dan menyifatkannya sebagai tindakan tidak bertanggungjawab yang menguntungkan propaganda Hamas serta menjejaskan usaha damai. “Ini adalah satu tamparan kepada mangsa serangan 7 Oktober,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Kanada, Mark Carney turut menzahirkan kebimbangan terhadap situasi di Gaza dan mengkritik kegagalan Israel menangani krisis kemanusiaan yang semakin memburuk. Beliau menuduh Israel melanggar undang-undang antarabangsa dengan menyekat bantuan kemanusiaan yang dibiayai oleh Kanada.

“Kanada mendesak semua pihak agar berunding secara ikhlas dan mencapai gencatan senjata segera,” katanya sambil menggesa pembebasan segera tebusan oleh Hamas serta meminta kerajaan Israel agar menghormati wilayah Palestin termasuk Gaza dan Tebing Barat.

Sementara itu, dalam satu kabel diplomatik pada bulan Jun, AS telah menyatakan bahawa mereka menentang sebarang tindakan unilateral untuk mengiktiraf negara Palestin dan memberi amaran bahawa tindakan sebegitu bercanggah dengan dasar luar AS serta boleh mencetuskan reaksi balas.

Sumber : TV Pertiwi

https://t.me/indahnyaislam

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts