Perbuatan melampau jejas kesucian al-Quran tidak boleh diterima umat Islam

KUALA LUMPUR: Dua perbuatan melampau membabitkan kesucian kitab al-Quran, yang dilaporkan baru-baru ini, tidak boleh diterima dan memilukan hati umat Islam.

Umat Islam di negara ini berang dengan tindakan membuang ayat al-Quran di tapak pembuangan sampah haram di Nilai, Negeri Sembilan dan membakar naskhah al-Quran oleh pemimpin politik berhaluan kanan Sweden, Rasmus Paludan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, Sweden.

Tindakan pemimpin Sweden itu juga mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Dalam khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Perak bertajuk ‘Pemuliharaan Mushaf al-Quran Suatu Kewajipan’, menjelaskan memuliakan al-Quran tidak sekadar di peringkat memuliharanya, malah meliputi urusan pelupusan, yang mana ia perlu dilupuskan dengan kaedah yang beradab mulia.

“Sejarah Islam merakamkan perihal pelupusan al-Quran pada zaman Saidina Uthman Bin ‘Affan RA melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, yang mana ‘Uthman memerintahkan supaya segala mushaf selain daripada mushaf yang asal, dibakar.

“Hadis ini membuktikan harus membakar mushaf al-Quran atau bahan yang mengandungi ayat al-Quran, dengan tujuan menjaga kesuciannya.

“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Ke-30 menetapkan beberapa cara untuk melupuskan al-Quran. Antaranya, dibakar atau ditanam; dibuat secara berasingan, bebas daripada bahan lain dan bahan yang dilupuskan tidak boleh digunakan semula bagi apa-apa tujuan sekalipun,” menurut khutbah Jumaat itu.

Khutbah itu juga menyatakan, terdapat beberapa adab dalam penjagaan al-Quran iaitu orang bukan Islam diharamkan menulis, mengukir, membentuk, mempamerkan dan menjual barangan yang mengandungi ayat suci al-Quran dan al-Quran tidak boleh dilangkah atau diletakkan di atas lantai atau tempat terdedah kepada kemungkinan berlakunya kerosakan.

Al-Quran yang mahu dihantar melalui kiriman pos hendaklah dilakukan secara berdaftar dan dibungkus dengan sempurna.

Selain itu, bahan yang mengandungi ayat al-Quran hendaklah dibakar secara menyeluruh tanpa tertinggal mana-mana bahagian yang tidak terbakar; bahan atau debu yang mengandungi ayat al-Quran hendaklah dikumpulkan supaya tidak ditiup angin atau bersepah.

Bahan atau debu ayat al-Quran itu kemudiannya perlu ditanam di tempat yang bersih atau tidak dilalui orang atau dibuang ke dalam laut atau sungai yang airnya mengalir dan kerja pembakaran hendaklah dikawal selia oleh pegawai jabatan agama atau pihak yang mahu melupuskannya.

Di negara ini, Kementerian Dalam Negeri adalah pihak berkuasa yang ditugaskan untuk menjalankan penguatkuasaan dan kawalan berkaitan teks dan bahan al-Quran.

Kementerian Dalam Negeri melalui Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Teks al-Quran berperanan sebagai panel semakan bagi memastikan ketepatan al-Quran sebelum dibenarkan dicetak.

Di Perak, Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Perak berperanan menguruskan pelupusan al-Quran. 

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts