home Semasa Perjalanan ilmu adalah perjalanan mengenal Tuhan

Perjalanan ilmu adalah perjalanan mengenal Tuhan

 

“DAN Allahlah yang mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui” – Surah Al-Baqarah, ayat 216

Dalam mentadabbur ayat ini, ia memberikan beberapa noktah utama dalam perjalanan seseorang menuntut ilmu ;

1. Ilmu itu hakikatnya hanya pada Allah SWT, bukan pada manusia atau mana-mana makhluk-Nya.

Kita cuba lukiskan satu garisan yang menggambarkan bahawa semakin dekat seseorang dengan Allah SWT, semakin bertambah ilmunya, dan semakin jauh daripada Allah SWT maka semakin sedikitlah ilmunya.

2. Semakin berilmu seseorang, semakin hilanglah ‘ego’ dirinya. Ini kerana apabila seseorang itu memahami bahawa ilmu itu mutlak milik Allah, dirinya akan dilihat tidak mengetahui apa-apa secara zat, bahkan segalanya akan disandarkan kepada Allah SWT.

Adapun seseorang mengisbatkan ilmu kepada dirinya, ia bukti bahawa itu adalah kejahilan, kerana kejahilan akan meningkatkan ego, dan ia petanda bahawa seseorang itu jauh daripada Allah SWT.

Jadi dalam garisan itu, semakin dekat seseorang dengan Allah SWT, maka semakin mengecillah dirinya, dan hingga ia fana’ dengan keagungan dan ketinggian sifat-sifat Allah SWT hingga tiadalah daya dan upaya yang disandarkan kepada dirinya walau sekelumit usaha dan pemikiran pun.

3. Kita boleh memahami ayat ini dalam menghuraikan hadis-hadis berkenaan penuntut ilmu. Ada hadis yang menyatakan bahawa barangsiapa yang menuntut ilmu, ia memudahkan jalannya menuju syurga. Serta para malaikat melabuhkan sayapnya pada para penuntut ilmu, dan juga para binatang akan meminta ampun pada Allah SWT untuk para penuntut ilmu.

Ini kerana jalan menuntut ilmu adalah jalan menuju Allah SWT. Oleh kerana para malaikat dan makhluk sentiasa bertasbih kepada Allah SWT, jadi mana-mana sahaja manusia yang menuju Allah SWT akan terkena tempias tasbih dan doa mereka, kerana dia berada pada satu jalan yang selari.

4. Atas dasar itu juga kita fahami ayat Al-Quran yang menyatakan bahawa hanyasanya yang takut pada Allah adalah orang berilmu. Dan juga ayat yang menyatakan bahawa bertaqwalah kepada Allah dan Allah akan mengajarkanmu.

Ini kerana proses mujahadah dalam jiwa manusia yang merupakan jalan taqarrub kepada Allah SWT, juga adalah sebahagian daripada proses mendapat ilmu daripada Allah SWT, berupa ilham, ‘futuhat rabbaniyah’, dan lebih besar lagi membina kemampuan deria ‘zauq’ dalam melihat ‘tajalli’ sifat Allah SWT pada setiap keadaan dan ketika.

Bagi jiwa yang suci dan dipilih oleh Allah SWT, Dia akan membuka hakikat alam, hakikat penciptaan, hakikat dunia dan akhirat, serta hakikat dirinya sendiri, hingga dengan demikian dia mampu memahami hidup ini dan menyimpulkannya dengan satu kalimah sahaja, iaitu ; La Ilaha Illallah, Muhammadur Rasulullah.

Demikianlah sedikit tadabbur daripada satu ayat Al-Quran, berkenaan ilmu dan hakikatnya.

Moga Allah menggolongkan kita dalam kalangan hamba-Nya yang berilmu dan berjuang.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Syamil Esa

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *