Perlis laksana solat berjemaah tanpa penjarakan 1 April

ARAU: Semua masjid dan surau rasmi di Perlis dibenarkan melaksanakan solat berjemaah dengan merapatkan saf tanpa perlu mengadakan penjarakan fizikal antara jemaah mulai 1 April ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, langkah berkenaan diambil selaras dengan permulaan Fasa Peralihan Endemik di seluruh negara bermula pada tarikh berkenaan.

“Dengan kurnia limpah perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam meneliti perkembangan semasa penularan COVID-19 di Perlis serta mengambil kira Fasa Peralihan Endemik bermula pada 1 April ini maka baginda mempertimbangkan ketetapan dengan membenarkan pelaksanaan solat berjemaah di seluruh masjid dan surau di Perlis dengan merapatkan saf tanpa perlu mengadakan penjarakan fizikal.

“Bagi kehadiran jemaah di surau dan masjid pula, semua individu termasuk kanak-kanak dibenarkan hadir untuk menunaikan solat dan menyertai aktiviti pengimarahan tanpa terikat dengan status vaksinasi.

“Bagaimanapun, pegawai masjid bertugas dan jemaah masjid kekal dilarang hadir ke masjid sekiranya mereka terdiri daripada golongan seperti golongan yang berstatus PUI (Person Under Investigation), PUS (Person Under Surveillance) dan mereka yang memiliki risiko untuk dijangkiti,” titah baginda dalam satu kenyataan media hari ini.

Baginda yang juga Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut bertitah bahawa golongan individu yang mempunyai gejala seperti demam, sesak pernafasan, sakit tekak, selsema dan sebagainya juga tidak dibenarkan hadir ke masjid.

“Dalam masa sama juga, semua prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan hendaklah kekal dipatuhi pada setiap masa selain waktu menunaikan solat sama ada ketika selesai solat, ketika mendengar kuliah dan sepanjang tempoh berada di masjid.

“Selain itu, semua aktiviti pengimarahan seperti kuliah, ceramah termasuk jamuan adalah dibenarkan dengan pematuhan SOP kesihatan dan keselamatan yang berkuatkuasa.

“Malah, aktiviti sosial lain seperti perkahwinan, jamuan, gotong-royong, majlis berbuka puasa, iktikaf dan sebagainya turut dibenarkan,” titah baginda.

Sebagai langkah kawalan, baginda bertitah, kebenaran khas untuk solat Jumaat kepada surau di Institusi Pendidikan masih diteruskan sehingga ke satu tempoh yang akan ditetapkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis.

“Saya berharap Fasa Peralihan Endemik yang bakal kita hadapi kelak, adalah satu permulaan baharu kepada kita untuk menempuh normalisasi pasca penularan COVID-19.

“Oleh itu, marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT, agar dipermudahkan segala urusan, serta dijauhkan daripada mara dan bahaya,” titah baginda – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts