Perluas kefahaman orang bukan Islam mengenai sensitiviti umat Islam – Na’im

KUALA LUMPUR: Agensi agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) perlu memperluas pemahaman serta libat urus dengan masyarakat bukan Islam berhubung perkara menyentuh sensitiviti umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata orang bukan Islam mungkin kurang memahami sensitiviti agama sehingga ada yang mempersoalkan mengapa isu penjualan stoking tertera kalimah Allah itu diperbesarkan.

Mohd Na’im menegaskan, kalimah Allah sangat suci dalam Islam dan meletakkan kalimah itu pada stokin bukan isu remeh serta tidak boleh diterima umat Islam.

“Ini arahan saya kepada JAKIM dan YADIM supaya mengadakan libat urus dan interaksi dengan orang bukan Islam. Proses dakwah ini perlu dilakukan supaya orang bukan Islam mengerti kenapa kalimah Allah ini sangat suci dalam kalangan orang Islam.

“Apabila mereka memahami secara jelas dan jika berlaku perkara seumpama ini selepas ini, mereka tahu ia perkara yang tidak boleh dimaafkan.

“Kita harap interaksi dan pemahaman yang diberi dapat mengeratkan perpaduan dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan dan mengedarkan pek Ramadan ke ibu pejabat The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) di Balai Berita di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengarang Urusan Kumpulan NSTP merangkap Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim murka dan menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka.

Sultan Ibrahim bertitah, ketika berangkat ke Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen bulan lalu, baginda mengingatkan semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif membabitkan agama, kaum dan Raja-Raja.

Mengulas titah Sultan Ibrahim, Mohd Na’im berkata, kemurkaan baginda jelas mencerminkan bagaimana umat Islam amat tersinggung dengan isu itu.

“Seperti mana harapan Yang di-Pertuan Agong supaya tindakan keras diambil, kita harap siasatan diteruskan walaupun ada permohonan maaf (daripada pemilik kedai serbaneka terbabit).

“Apabila pihak bersalah ditemui, tindakan keras seperti yang dititah baginda perlu dilaksanakan sebagai pengajaran dan kita harap pihak pengilang, pembekal, pekedai serta pihak lain mengambil iktibar daripada apa yang berlaku ini,” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial isu stoking tertera kalimah

‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Susulan kejadian itu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilapor memohon maaf berhubung penjualan stoking berkenaan.

Syarikat iu berkata, jualan stoking berkenaan dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts