Perpaduan Islam kunci kejayaan: Imam Besar Masjid Al-Aqsa

 

PADA 2 November lalu genap 100 tahun Deklarasi Belfour ditandatangani yang mana ia memperlihatkan sokongan padu kerajaan British sehingga tertubuhnya negara Israel.

Deklarasi itu meninggalkan kesan mendalam ke atas rakyat Palestin kerana ia tidak menguntungkan mereka, sebaliknya sejengkal demi sejengkal tanah mereka dirampas oleh pendatang haram Yahudi.

Malah, Masjid al-Aqsa yang menjadi simbol umat Islam di Baitulmaqdis dan masjid ketiga paling suci bagi umat Islam itu tidak pernah sunyi daripada menjadi cengkaman rejim Zionis.

Wartawan Mingguan Malaysia, HAFI ZAHRIL HAMID, ABD . AZIZ ITAR dan AMI ZUL TUNI ZAR AHMAD TERMI ZI sempat menemu bual Imam Besar Masjid al-Aqsa, SYEIKH DR . E’KRIMA SA ’EED SABRI sewaktu kunjungannya ke Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam kunjungan kali kelima ke negara ini Dr. E’krima berkongsi cerita tentang perkembangan terbaharu di Palestin selain isu-isu membabitkan cengkaman Yahudi ke atas Masjid al-Aqsa. Ikuti temu bual tersebut.

MINGGUAN: Boleh Syeikh jelaskan tentang keadaan terkini di Masjid al-Aqsa selepas insiden pengepungan masjid itu, Julai lalu?

DR. E’KRIMA: Mengikut pandangan saya, kepungan yang dilakukan oleh tentera rejim Zionis ke atas di Masjid al-Aqsa itu sebagai suatu ‘hukuman’ terhadap tindakan rakyat Palestin yang berbentuk umum sifatnya. Tetapi dalam masa yang sama, mereka (Yahudi) mempunyai matlamat untuk memisahkan Baitul Maqdis dengan bandar-bandar lain di Palestin.

Mereka kalau boleh mahu Baitul Maqdis dikosongkan daripada umat Islam. Walau bagaimanapun, hasil daripada pengepungan itu menyebabkan semakin ramai rakyat Palestin memenuhi Baitul Maqdis bagi mempertahankan bandar itu daripada cengkaman Israel.

Adakah umat Islam sudah dibenar masuk seperti biasa atau sukar memasuki Masjid al-Aqsa?

DR. E’KRIMA: Buat masa ini, umat Islam sudah boleh memasuki Masjid al-Aqsa dan menguasai semula masjid ini sejak penutupannya pada bulan Julai lepas. Pada masa sama, perancangan-perancangan untuk menawan semula Baitulmaqdis ini akan berterusan, apatah lagi Israel juga telah membawa orang-orang Yahudi dari luar untuk membuat penempatan di sana supaya penduduk mereka semakin bertambah ramai dan kedudukan mereka kuat.

Mereka juga mengenakan cukai-cukai yang tidak masuk akal kepada para peniaga di sana selain tidak membenarkan penempatan semula rumah-rumah rakyat Palestin atas dasar tidak mendapat kebenaran untuk membangunkan kawasan penempatan di sana mengikut syarat-syarat ketat yang dikenakan oleh rejim Zionis.

Adakah Syeikh pernah mendapat ugutan bunuh atau ancaman daripada pihak Zionis?

DR. E’KRIMA: Ya memang berlaku ugutan terhadap saya dan dalam berita yang telah disiarkan oleh media baru-baru ini, kaki saya telah terkena tembakan askar Israel selepas saya habis mengerjakan solat Isyak ketika insiden pengepungan di Masjid al-Aqsa pada Julai lalu.Namun, saya telah dikerumuni oleh sekumpulan pemuda Palestin yang melindungi saya supaya tidak terus ditembak. Memang ugutan-ugutan ke atas saya berlaku.

Walau bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat saya kerana ia bukanlah suatu perkara yang besar berbanding ramai lagi nyawa rakyat Palestin yang tidak berdosa telah terkorban di tangan rejim Zionis.

Bagaimana dunia boleh membantu rakyat Palestin dalam menyelesaikan tekanan serta kekejaman yang mereka terima daripada Israel selama ini?

DR. E’KRIMA: Memang benar, Palestin memerlukan bantuan dari negara-negara luar antaranya dalam bidang pendidikan, perubatan dan pembangunan ataupun membina semula rumah-rumah mereka yang telah dimusnahkan oleh tentera Israel dalam siri serangan yang dilakukan selama ini.

Pada 2 November lalu genaplah 100 tahun deklarasi Perjanjian Balfour yang melibatkan kerajaan British yang menyebabkan kewujudan negara Israel sehingga ke hari ini, apa komen Syeikh?

DR. E’KRIMA: Perjanjian Balfour itu merupakan hasil rundingan yang dilakukan oleh pihak British di bawah Arthur James Balfour, Menteri Luar British ketika itu. Saya melihat ia suatu muslihat antarabangsa untuk melihat keharusan penempatan Yahudi di Palestin dan ia sengaja diada-adakan oleh British dan Perancis. Ini adalah perancangan jahat antara pihak Kristian dan Zionis untuk menempatkan golongan Yahudi di Palestin.

Apa yang dilakukan kerajaan British pada hari ini dalam konteks sepanjang 100 tahun usia perjanjian itu yang mana mereka dilihat telah ‘meraikannya’. Jelas permusuhan mereka terhadap Islam dapat dilihat dengan jelas pada hari tersebut.

Pada 2 November lalu, Palestin telahpun mengemukakan prosedur bagi menyaman kerajaan British ekoran kesan daripada perjanjian tersebut. Ia akan dibawa kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam waktu terdekat ini. Memang kami ada usaha ke arah itu.

Mungkinkah boleh wujud situasi di mana orang Arab Palestin dan Yahudi mampu hidup bersama-sama dalam sebuah negara?

DR. E’KRIMA: Itu mustahil. Perkara itu tidak akan berlaku kerana sekarang ini orang-orang Yahudi membina penempatan di atas tanah-tanah milik orang Palestin dengan tanpa keizinan. Pada masa yang sama, seluruh wilayah Palestin pula telah dibahagi-bahagikan dan dirampas oleh Yahudi.

Orang Palestin dihalang daripada memasuki kawasan-masing-masing. Malah, jarak antara Baitulmaqdis juga jauh dengan bandar-bandar lain di Palestin yang mana ia nampak terpisah. Israel memang tidak suka dengan kewujudan negara Palestin, bahkan kita semua tahu bahawa British adalah antara ‘tangan-tangan ghaib’ yang berada di belakang kuasa Yahudi.

Mereka hanya wujudkan wilayah-wilayah autonomi sahaja dan bukannya mahu membantu mewujudkan sebuah negara Palestin yang berdaulat.

Bagaimana pula dengan negara-negara Arab yang kaya seperti Kuwait, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi sepatutnya boleh membantu Palestin dengan pengaruh yang ada tetapi ia tidak berlaku?

DR. E’KRIMA: Sebenarnya, isu Palestin adalah tanggungjawab kita bersama dan negara-negara itu boleh membantu Palestin apabila wujudnya penyatuan di antara negara-negara terbabit. Tetapi sekarang ini mereka tidak bersatu, jadi mereka tidak boleh fokus dalam usaha bagi membebaskan Palestin.

Mustahil matlamat itu boleh dicapai. Ia tidak seperti di zaman pemerintahan Salehuddin al-Ayubi suatu ketika dulu dan kalau wujud pemimpin seperti beliau di era moden ini, maka barulah negara-negara Islam boleh disatukan.

Apa pandangan Syeikh akan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakyat Malaysia dalam membantu meringan beban rakyat Palestin?

DR. E’KRIMA: Kami amat menghargai apa yang telah Malaysia lakukan bagi membantu Palestin selama ini, malah ia bukan lagi suatu perkara asing sejak dari dulu sampailah sekarang. Kami juga berterima kasih kepada Malaysia kerana tidak pernah mengiktiraf kewujudan negara Israel.

Hasil pertemuan saya dengan Perdana Menteri baru-baru ini, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi sokongan penuh ke atas rakyat Palestin yang berjuang mempertahankan Masjid al-Aqsa.

Pandangan Syeikh tentang kumpulan Hamas dan Fatah yang sepatutnya dilihat boleh bersatu bagi memperjuangkan negara Palestin yang merdeka?

DR. E’KRIMA: Saya amat mengalu-alukan penyatuan antara Fatah dan Hamas kerana ia suatu perkara yang wajib dilakukan. Apabila mereka bertelagah sesama sendiri ia telah memberi ruang kepada Yahudi untuk menguasai Masjid al-Aqsa dan pada masa sama turut memperlihatkan kelemahan dalam soal perpaduan umat Islam di sana. Saya menyeru seluruh umat Islam dimana jua supaya mementing perpaduan sesama kita.

Apakah kerjasama dalam kalangan parti politik boleh menjadi pemangkin perpaduan ummah seperti kerjasama antara UMNO dan Pas di Malaysia?

DR. E’KRIMA: Sementara perpaduan yang ada dalam kalangan umat Islam di Malaysia juga telah menjadi titik tolak kepada perpaduan umat Islam keseluruhannya. Dalam konteks politik di Malaysia seperti perpaduan yang sepatutnya wujud antara parti UMNO dan Pas ia juga merupakan suatu perkara yang amat penting untuk dikaji serta dilaksanakan kerana kekuatan itulah juga yang boleh digunakan ke arah yang lebih luas termasuk membantu membebaskan Masjid al-Aqsa suatu hari nanti.

Pada pandangan Syeikh , mampukah Malaysia menjadi sebuah negara Islam contoh kepada negara-negara lain?

DR. E’KRIMA: Perkara itu mampu dilakukan. Apa yang saya harapkan adalah kemajuan daripada segi ekonomi dan bebas daripada cengkaman penjajah, manakala daripada aspek agama pula ia memerlukan kepada usaha yang berperingkat-peringkat bagi memberi kefahaman kepada umat Islam secara keseluruhannya. Malaysia sememangnya dilihat mampu memacu umat Islam dalam banyak aspek dalam konteks dunia hari ini.

Apakah masih kental semangat rakyat Palestin dalam memperjuang tanah air mereka ketika ini?

DR. E’KRIMA: Kami rakyat Palestin akan terus berjuang bagi membebaskan tanah air kami dan juga Masjid al-Aqsa. Apatah lagi, fatwa telah dikeluarkan bahawa mereka (rakyat Palestin) yang keluar negara dengan tujuan mahu meninggalkan terus adalah haram hukumnya.

Bahkan ini adalah suatu perintah agama tetapi bagi yang meninggalkan Palestin kerana mahu menuntut ilmu atau mencari rezeki di luar negara dan menyalurkan sumbangan bagi membebaskan Masjid al-Aqsa, maka itu tidak mengapa.

Malah, berdasarkan pengalaman ramai rakyat Palestin sebelum ini yang cuba meninggalkan terus negara itu telah mendapat pelbagai musibah dan kesulitan dalam hidup mereka. Sebab itulah masih ramai yang sanggup mempertahankan Masjid al-Aqsa sejak dari dulu sampailah sekarang. – Utusan

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts