Pesanan Rasulullah tentang marah

  1. Benar, naluri ibu akan berusaha mempertahankan anak mereka. Namun sifat marah akan melenyapkan pemikiran rasional. Marah berupaya membakar kewarasan akal dan mencetus tindakan yang membawa penyesalan. Kata Urwah bin al-Zubair:

فإن شدة الغضب مفسدة لفؤاد الحكيم

“Sesungguhnya kemarahan yang membara akan merosakkan kebijaksaan hati yang berfikir.”

  1. Dalam sebuah hadis Rasulullah berpesan kepada seorang sahabat agar mengawal diri ketika marah. Orang yang kuat adalah mereka yang berjaya mengawal api kemarahan. Sabda Rasulullah:

ليس الشديدُ بالصُّرَعةِ، إنما الشديد الذي يملِكُ نفسه عند الغضب

“Bukanlah dikatakan kuatnya seseorang itu disebabkan hebatnya dia bergaduh (pergustian), tetapi orang yang kuat itu adalah orang yang menguasai dirinya ketika marah.” (HR al-Bukhari)

  1. Atas dasar itu Rasulullah memberikan beberapa pesanan kepada kita dalam mengendalikan jiwa yang sedang bergelojak. Rasulullah mengingatkan kepada kita agar berta’awuz (memohon dijauhkan dari syaitan) ketika sedang marah. Sabda Nabi:

إني لأعلم كلمة ، لو قالها ذهب عنه ما يجد ، لو قال : أعوذ بالله من الشيطان ، ذهب عنه ما يجد

“Sesungguhnya aku mengetahui kamu satu kalimah, andai kamu mengucapkannya, maka akan pergi apa yang tercetus di hatimu. Sekiranya kamu ucapankan “A’zubillahi Minasy Syaitan”, maka akan pergilah apa yang terpendam di hatimu.” (Sahih Ibn Hibban)

  1. Baginda turut berpesan agar diturunkan level kemarahan melalui pergerakan fizikal. Andai ketika marah itu kita sedang berdiri, maka duduklah. Bukan menengking-nengking dan menendang-nendang. Sabda Rasulullah:

إذا غضب أحدكم وهو قائم فليجلس ، فإن ذهب عنه الغضب وإلا فليضطجع

“Sekiranya salah seorang kamu sedang marah dan dia sedang berdiri, maka hendaklah dia duduk. Sekiranya marah itu pergi (alangkah baiknya) dan sekiranya marah itu tidak hilang, maka baringlah.” (HR Abu Daud)

  1. Dan ingatlah bahawa tindak-tanduk kita sentiasa akan dipelajari oleh orang disekeliling kita termasuklah anak kita. Setiap perbuatan dan kata-kata akan menjadi contoh buat mereka.
  2. Berapa ramai dalam kalangan kita yang menyesal terhadap apa yang diucapkan saat dia marah. Teringat saya kata-kata hukama: “Aku tidak pernah menyesal terhadap diamku ketika marah, berbanding dengan kata-kataku saat aku marah.”

Peringatan buat diri sendiri. Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts