PGSM desak semua kerajaan Negeri pinda Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa semua Kerajaan Negeri meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri dengan memasukkan peruntukan tambahan yang memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar permohonan bagi semakan kehakiman ke atas apa-apa keputusan yang dibuat oleh Majlis atau jawatankuasa-jawatankuasa yang menjalankan fungsi Majlis, di bawah Enakmen berkenaan.

Presiden PGSM, Musa Awang berkata, keputusan mengejutkan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini sepatutnya dijadikan “wake-up call” kepada pihak Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa agama negeri untuk segera memperkemaskan undang-undang syariah masing-masing.

“Peruntukan baharu tersebut agar dapat melindungi kepentingan orang-orang Islam dan tidak memberi sebarang ruang untuk dibawa ke mahkamah sivil, dalam memutuskan perkara berkaitan orang Islam.

“Pindaan sedemikian telah pun dilakukan oleh Dewan Undangan Negeri Selangor pada Mei 2015 dengan memasukkan peruntukan baharu Seksyen 66A dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (Pindaan 2015) Seksyen 66A-Bidangkuasa Mahkamah Tinggi syariah bagi semakan kehakiman,”katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian susulan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes M.Indira Ghandi dengan Mohd Ridhuan Abdullah pada 29 Januari lalu apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anaknya adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Musa berkata, Mahkamah Tinggi Syariah, boleh, demi kepentingan keadilan, atas permohonan mana-mana orang, mempunyai bidang kuasa untuk memberi kebenaran dan mendengar permohonan bagi semakan kehakiman ke atas keputusan yang dibuat oleh Majlis atau jawatankuasa-jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah Enakmen ini.

Dalam masa sama, kata Musa, PGSM sedar bahawa dalam kes berkenaan, Mahkamah Persekutuan menggunakan kuasa semulajadinya (inherent power) untuk melakukan “judicial review” bagi menentukan keesahan (legality) Perakuan Memeluk Islam yang dikeluarkan oleh Pendaftar Muallaf, Jabatan Agama Islam Perak, di bawah Majlis Agama Islam Perak. “Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa Perakuan Pemelukan Islam itu tidak sah atau batal di sisi undang-undang, lantaran “anak-anak tersebut” tidak melafazkan dua kalimah syahadah sebagaimana dikehendaki oleh Seksyen 96 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Perak) 2004.

“Oleh itu, PGSM berpandangan bahawa apa yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan tersebut adalah disebabkan Mahkamah Syariah tidak diberi kuasa untuk membuat semakan kehakiman terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh mana-mana Jawatankuasa atau institusi di bawah Majlis Agama Islam,” ujarnya. Musa berpandangan, disebabkan itu, apabila ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh mana-mana institusi Islam, kebanyakannya akan dibawa ke mahkamah Sivil.

“Maka, di situlah berlakulah campur tangan mahkamah sivil terhadap perkara-perkara yang sepatutnya didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Syariah,” ujarnya. – Utusan

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts