Puasa asah minda, cegah risiko penyakit

drazizi

 

Beberapa perubahan fisiologi berlaku kepada tubuh badan sewaktu berpuasa. Antaranya, penggunaan tenaga badan banyak guna karbohidrat dalam badan melalui sumber makanan diambil sewaktu sahur.

Karbohidrat menyediakan sumber tenaga utama yang diserap segera ke dalam sistem tubuh manusia. Karbohidrat menyumbangkan kira-kira 50 peratus daripada pengambilan tenaga yang diperlukan tubuh manusia. Sekiranya jumlah karbohidrat ini tidak mencukupi, kita akan mula rasa kepenatan, terutama menjelang waktu tengah hari. Dalam keadaan sebegini, badan juga mampu guna sumber tenaga lain, iaitu lemak.

Sumber lemak berada dalam simpanan di hati atau di bahagian otot yang lain. Penggunaan sumber tenaga ini adalah penting kerana sepanjang tempoh puasa pada siang hari, kita tidak ambil sebarang makanan atau minuman kecuali sewaktu sahur. Puasa juga memberi kesempatan bagi sistem pencernaan untuk beristirahat. Secara umumnya, sistem pencernaan manusia ini perlu tujuh hingga lapan jam untuk memproses makanan yang dimakan. Sebaliknya, dalam keadaan tidak puasa, sistem pencernaan seseorang akan bekerja terus menerus tanpa henti.

Buktinya, kita akan rasa letih sekiranya makanan yang diambil itu lebih daripada hadnya. Untuk pencernaan berlaku tenaga diperlukan. Lebih banyak makanan atau minuman diambil, lebih lama masa dan lebih tenaga diperlukan supaya pencernaan sempurna dan berlaku serapan nutrien tertentu ke dalam sistem tubuh.

Konsep pencegahan

Puasa sebenarnya dapat menghindarkan beberapa penyakit dan mengurangkan risiko menghidapinya, bertepatan dengan konsep amalan baik untuk semua individu iaitu ‘pencegahan lebih baik daripada merawat’. Penyakit tidak berjangkit (non-communicable disease) antaranya ialah hipertensi, diabetes, hiperkolesterolemia, penyakit jantung dan lain-lain lagi sangat berkaitan dengan makanan yang diambil.

Obesiti juga sering dikaitkan dengan amalan pengambilan makanan tidak seimbang. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporan 2010, lebih 60 peratus rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas mempunyai ‘Body-Mass-Index’ (BMI) melebihi 25. Tahap ini bermaksud lebihan berat badan. Obesiti dan lebihan berat badan meningkatkan risiko menghidapi penyakit. Penyakit juga berpunca daripada apa yang kita makan.

Nabi SAW bersabda: “Perut itu adalah rumah penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit” (Hadis riwayat Muslim).

Puasa juga beri peluang kepada kita untuk menjaga dan mengamalkan pemakanan yang sihat. Malangnya, apabila tiba bulan Ramadan, kita sering berbelanja lebih dan membeli makanan sesuka hati untuk jamuan berbuka. Kita seolah-olah terlupa puasa itu mendidik kita untuk kawal hawa nafsu makan dan minum. Makanan dan minuman sepatutnya bersesuaian dan tidak perlu diambil dengan berlebihan. Ketidakseimbangan pengambilan makanan inilah boleh mengundang penyakit dan kemudaratan.

Benarlah firman Allah bermaksud: “Makan dan minumlah kamu dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan” (Surah al-A’raf:31).

Ramadan juga peluang terbaik kepada perokok untuk mengurangkan atau berhenti terus daripada amalan membazir dan membahayakan kesihatan. Fakta ilmiah dan bukti sains sudah terlalu banyak dan kempen berhenti merokok dan vape sudah lama dijalankan. Namun, keberkesanannya tidak optimum. Justeru, objektif puasa dengan menahan lapar, dahaga serta mengelakkan perkara yang membatalkan puasa itu sangat sesuai untuk ‘bunuh’ nafsu merokok yang saban hari dikaitkan dengan komplikasi kesihatan serius. Atas penjelasan ilmiah ini, puasa boleh dijadikan satu bentuk intervensi penyakit yang penting. Amalan puasa ini boleh terus dilakukan juga di luar Ramadan.

Puasa mengasah minda

Islam sangat menitikberatkan pembangunan minda dan kecemerlangan intelektual umatnya. Justeru, antara tujuan (Maqasid al-Syariah) disyariatkan puasa di dalam Islam ialah untuk menjadikan orang berpuasa mempunyai sifat takwa. Sifat takwa ini membawa maksud memelihara diri daripada seksaan Allah dengan mengikuti segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, dan tidak cukup diertikan dengan takut sahaja. Semua perintah Allah yang disyariatkan pastinya mempunyai faedah dan manfaat, begitu juga dengan segala larangan-Nya yang pasti ada kemudaratan. Puasa juga beri impak yang sangat baik daripada aspek pembangunan dan keberkesanan berfikir seseorang individu.

Galakan baca al-Quran pada Ramadan dan memikirkan maksudnya serta aplikasi dalam kehidupan adalah satu bentuk latihan meningkatkan keimanan, kerohanian serta melatih pemikiran ke tahap tinggi. Seorang Muslim yang sentiasa memikirkan penciptaan Tuhan, akan sering merasa ‘izzah’ kerana keunikan penciptaan dunia dan seisinya itu melangkaui pemikiran normal manusia. Al-Quran sebagai hidayah dan mukjizat kepada Nabi, menjadi panduan serta sandaran yang mampu membimbing umatnya ke jalan yang benar.

Umat Islam juga perlu didedahkan dengan pelbagai cerita, pengajaran umat terdahulu, nasihat, motivasi kehidupan dan amaran dalam ayat al-Quran kerana semua ini satu bentuk ‘meditasi’ minda dan boleh meningkatkan intelektual seseorang. Beberapa bukti sains mengaitkan puasa boleh beri kesan baik ke atas fungsi otak.

Ini termasuk meningkatkan fungsi kognitif, meningkatkan rentan stres and mengurangkan inflamasi. Fungsi kognitif ini sangat berkait rapat dengan kemampuan belajar ilmu baharu, perkembangan percakapan serta kaedah berfikir. Banyak penemuan saintifik lain antara puasa dan fungsi otak ini telah diterjemahkan ke jurnal sains, dan juga beberapa laman web dijadikan rujukan seperti ‘Fasting Center International’ (FCI).

Kita tidak dapat nafikan penjelasan ilmu sains sangat sinonim dengan kebaikan puasa. Selamat berpuasa kepada semua Muslim. Semoga kita dirahmati, diberkati dan dikurniakan sifat takwa.

Prof Dr Azizi Ayob
Pengarah Program Perubatan International Medical University (IMU)

Sumber: http://www.bharian.com.my/node/162687

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts