Pusingan pertama dialog damai Hamas, Fatah positif

 

GAZA – Pusingan pertama dialog perdamaian yang berlangsung di Kaherah, semalam, antara pemimpin pergerakan Hamas dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas mewakili Parti Fatah adalah ‘positif,’ lapor agensi berita China Xinhua memetik satu kenyataan rasmi.

Kenyataan itu, yang diedar melalui e-mel, dikeluarkan 10 jam selepas dialog tersebut berlangsung ‘dalam suasana positif’ di Ibu Pejabat Perisikan Keselamatan Mesir.

“Kedua-dua pihak, Fatah dan Hamas, mengadakan sesi pertama dialog nasional Palestin dalam usaha untuk menamatkan perpecahan dalaman dan mencapai perpaduan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pemimpin kedua-dua pergerakan pada akhir sesi itu.

Kenyataan itu juga menyebut dialog tersebut ditaja sepenuhnya oleh Mesir dan telah menangani secara mendalam beberapa isu perdamaian bagi menamatkan penderitaan penduduk Gaza.

Pemimpin kedua-dua pihak tiba di Kaherah pada malam Isnin untuk mengadakan dialog yang komprehensif bagi mencapai satu mekanisme untuk melaksanakan persefahaman perdamaian terdahulu yang telah dicapai beberapa tahun lepas.

Mereka berkunjung ke Kaherah atas jemputan rasmi Mesir bagi mengadakan satu dialog yang komprehensif ke arah menamatkan perpecahan dalaman lebih 10 tahun antara kedua-dua pihak.

Dialog di Kaherah itu dilancar selepas pergerakan Hamas mengumumkan pembubaran jawatankuasa pentadbiran kontroversial yang memerintah Gaza pada September.

Selepas membubarkan jawatankuasa itu, minggu lepas Abbas mengarahkan agar Rami Hamdallah, Perdana Menteri kerajaan konsensus Palestin dan kabinetnya serta ketua pasukan keselamatan Palestin ke Gaza untuk menyerahkan pentadbiran Gaza. – Bernama

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts