Rahsia Nabi Ibrahim dalam mentarbiah anak-anak

muslimchild

 

Nabi Ibrahim adalah mujahid dakwah yang paling hebat di zamannya, baginda ke sana dan ke mari kerana dakwah, kesibukannya menyebabkan masanya bersama keluarga cukup terhad.

Namun anak-anaknya semua menjadi, bahkan anak cucunya banyak yang diangkat menjadi Nabi, dan lebih hebat, keturunan zuriatnya menjadi Rasul akhir zaman pembawa hidayah.

Apa rahsia Nabi Ibrahim dalam mentarbiah anak-anak?

Ada tiga perkara yang boleh kita sama-sama teladani;

Pertamanya adalah doa Nabi Ibrahim yang luar biasa, tanpa jemu dan dengan penuh keikhlasan. Dalam banyak tempat di dalam Al-Quran, kita akan bertemu dengan doa baginda yang khusus terhadap anak-anak dan zuriat keturunannya. Antaranya adalah doa Nabi Ibrahim agar anak-anaknya sentiasa termasuk dalam golongan mereka yang teguh mendirikan solat.

Berapa kali kita berdoa untuk anak-anak dalam sehari? Bagaimana kita hendak mengharapkan anak-anak akan mendoakan kita di alam barzakh andai kita sendiri pun hanya mendoakan anak di waktu peperiksaan sahaja.

Kedua, Nabi Ibrahim cukup menghargai dan pandai berkomunikasi dengan anak-anaknya. Ketika baginda mendapat wahyu penyembelihan anaknya Ismail, tidaklah baginda memberi arahan terus kepada anaknya agar perintah Allah itu dilaksanakan.

Kedudukan baginda yang punya autoriti sebagai ayah, bahkan Nabi yang cukup mulia sepatutnya melayakkan baginda untuk mengarahkan anaknya menuruti sahaja perintah itu, tetapi tidak, bahkan baginda berbincang dan bertanya pendapat anaknya Ismail, walaupun usianya ketika itu masih kanak-kanak atau awal remaja.

Hebat sungguh seni tarbiah anak seorang nabi yang diangkat menjadi Khalilullah.

Jangan remehkan anak-anak kita hanya kerana mereka masih kecil. Dengari mereka dan cuba empati dengan apa yang mereka ingin luahkan. Anak-anak akan lebih hormat pada ayah ibu yang menghargai perasaan mereka.

Ketiga, baginda mendidik dengan qudwah.

Ketika diperintahkan membina Kaabah, baginda tidak hanya menjadi mandur kepada anaknya Ismail yang hanya tahu memberi arahan itu dan ini dan duduk memerhati dari tepi, tapi baginda bersama-sama dengan anaknya bekerja membanting tulang untuk membina binaan yang paling mulia di atas muka bumi.

Ketika kita ingin anak-anak rajin membaca Al-Quran, adakah kita juga rajin membacanya? Ketika kita ingin anak-anak solat di masjid, adakah kita turut bersama ke masjid setiap waktu bersama anak-anak?

Qudwah ibu bapa adalah kunci pentarbiahan anak-anak.

Moga-moga Allah memberi kekuatan kepada kita ayah dan ibu untuk meneladani Imam besar bagi seluruh manusia ini dalam mentarbiah anak-anak.

Insya-Allah.

Dr Hisham Sharif

Sumber: https://www.facebook.com/hisham.sharif.5/posts/1162458820442219

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts
Read More

Antara dua alam

  Solat yang sempurna merupakan rahsia kebahagiaan jiwa dan kedamaian sanubari. Kebahagiaan dan kedamaian itu selanjutnya akan memberi…