Rakyat Palestin rai resolusi PBB tolak pengiktirafan Trump

 

RAMALLAH – Rakyat Palestin pada Khamis mengalu-alukan resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menolak pengiktirafan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkaitan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, lapor agensi berita China Xinhua.

Nabil Abu Rdineh, jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas, dalam satu kenyataan menyebut resolusi itu menzahirkan sokongan masyarakat antarabangsa terhadap hak-hak rakyat Palestin.

“Ancaman Trump kepada anggota PBB tidak menghalang mereka daripada mengundi untuk menyokong resolusi itu,” kata Abu Rdineh.

Trump telah mengancam untuk menghentikan bantuan kewangan kepada negara yang mengundi menyokong resolusi itu.

Resolusi itu mengulangi fakta bahawa perjuangan rakyat Palestin adalah wajar dan telah mendapat sokongan luar biasa masyarakat antarabangsa, katanya.

“Deklarasi Trump tidak akan pernah mengubah hakikat bahawa Baitulmaqdis adalah sebuah wilayah yang diduduki dan oleh itu, undang-undang antarabangsa adalah terpakai di kawasan tersebut,” katanya.

Terdahulu pada Khamis, satu resolusi yang menggesa Washington menggugurkan pengiktirafannya berkaitan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel telah diluluskan dalam sidang tergempar khas Perhimpunan Agung PBB yang dianggotai 193 negara, dengan 128 undi menyokong, sembilan menentang dan 35 berkecuali.

Resolusi itu menegaskan pendirian tetap PBB berhubung kedudukan kota suci itu sejak 1967.

Pendirian itu menyatakan bahawa status muktamad Baitulmaqdis hendaklah diputuskan menerusi rundingan terus antara Israel dan Palestin.

Sementara itu, Pergerakan Islam Hamas dalam satu kenyataan menyebut, undian itu berada “di landasan yang betul dan merupakan satu kemenangan untuk rakyat Palestin”. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts