Ramadan di Gaza terlalu tragis, kebuluran melampau kian merebak

Bulan suci Ramadan bermula hari semalam di Semenanjung Gaza dan Israel tetap meneruskan perang genosidnya ke atas wilayah Palestin itu sehingga memburukkan lagi krisis kemanusiaan.

Isnin semalam menandakan permulaan Ramadan di Gaza, di kala keseluruhan 2.2 juta penduduk tidak dapat memenuhi keperluan makanan mereka.

Lebih daripada lima bulan serangan kejam Israel telah menyebabkan kebuluran melampau di kalangan penduduk Gaza.

Sekurang-kurangnya 25 orang, kebanyakannya kanak-kanak, telah meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan dehidrasi di wilayah Palestin sejak beberapa hari lalu.

Israel telah menyekat kemasukan bekalan makanan dan bantuan ke Gaza menyebabkan perkhidmatan kesihatan yang terhad.

Ketua Agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA) berkata, Ramadan di Gaza terlalu sedih, kebuluran yang melampau merebak, perpindahan berterusan, dan ketakutan serta kebimbangan berlaku.

“Bulan ini sepatutnya membawa gencatan senjata bagi mereka yang paling menderita,” tulis Philippe Lazzarini dalam catatan X.

Diab al-Zaza, seorang penduduk Gaza berusia 77 tahun, memberitahu portal berita Middle East Eye (MEE) bahawa rakyat Palestin hidup dalam keadaan lebih teruk daripada Nakba (Bencana).

Beliau merujuk kepada pembersihan etnik penduduk asli Palestin oleh rejim apartheid Israel pada tahun 1948.

“Saya telah melalui banyak kesusahan, tetapi sepanjang hidup saya, saya tidak pernah menjalani hari yang lebih sukar daripada ini kerana kelaparan, dahaga, kehilangan dan perpisahan,” katanya.

“Ramadan tahun ini pasti sedih kerana perang tidak meninggalkan apa-apa kepada kita. Mereka [tentera Israel] memusnahkan masjid; bahkan mereka memusnahkan Masjid Al-Omari, yang berusia lebih dari 1,400 tahun.”

Pada hari Isnin, pesawat pejuang Israel mengebom sebuah rumah di kejiranan Sabra di Bandar Gaza, membunuh sekurang-kurangnya 16 orang dan mencederakan berpuluh-puluh lagi.

Kebanyakan yang terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak, lapor agensi berita Wafa.

Sementara itu, pengantara Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat, gagal menjadi perantara gencatan senjata sebelum Ramadan antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin Hamas. – Agensi

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts