PETALING JAYA – Rakyat Malaysia menzahirkan rasa bangga dan terharu apabila melihat pasukan doktor tempatan terus berbakti di Gaza menerusi misi kemanusiaan anjuran Sukarelawan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia).
Beberapa gambar yang tular di media sosial menunjukkan sukarelawan perubatan Malaysia sedang melakukan pembedahan dan membantu mangsa cedera akibat serangan di Gaza.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Mercy Malaysia, organisasi itu telah menghantar Specialised Care Team 6 (SCT 6) yang terdiri daripada pakar pembedahan dan ortopedik, rawatan dialisis, serta penjagaan ibu dan anak di Hospital Al-Shifa.
Pasukan sukarelawan ini beroperasi sebagai unit pembedahan khas dan kekal komited menyelamatkan nyawa mangsa perang.
“Selain memberi rawatan kecemasan kepada mangsa cedera, sukarelawan turut menyediakan rawatan khusus kepada pesakit yang memerlukan perhatian segera.
“Mercy Malaysia akan terus menyokong pemulihan sistem kesihatan di Gaza dan memastikan akses kepada perkhidmatan rawatan kritikal, di samping mempertahankan hak setiap individu untuk menikmati kesihatan yang sewajarnya,” menurut kenyataan itu.
Tindakan berani dan penuh semangat kemanusiaan sukarelawan tersebut menerima pujian ramai rakyat Malaysia.
“Satu Malaysia bangga dengan kamu semua,” tulis Nur Nadhirah.
“Masya-Allah, bos, pakar dan konsultan kami. Semoga Allah merahmati kalian,” komen Dr. Afif.
Dalam pada itu, ada yang mengenali salah seorang sukarelawan sebagai doktor dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
“Nampak kami punya konsultan ortopedik dalam gambar. Bangga saya sebagai salah seorang staf HTAR,” kata Fatin Amirah.
Sumber: Kosmo
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








