Refleksi umat Islam Malaysia terhadap kejatuhan Khilafah Uthmaniyah

 

HARI ini merupakan ulangtahun ke-97 umat Islam hilang sebuah institusi yang memegang hegemoni dan kuasa politik dunia secara berpusat, iaitu sistem khalifah.

Hilangnya institusi tersebut menjadi permulaan kepada siri-siri cengkaman kuasa-kuasa Barat seperti British, Perancis, Amerika dan sebagainya terhadap umat Islam di seluruh dunia terutamanya di Timur Tengah, Afrika dan sebahagian besar wilayah Asia.

Penulisan saya kali ini bukannya ingin membahaskan bagaimana mahu mengembalikan sistem tersebut kerana saya yakin masing-masing ada pendapat yang pelbagai. Tetapi, saya ingin membawa suatu refleksi kepada kita semua, dalam konteks apa yang sedang terjadi di Malaysia. Saya rasa perbahasan perihal ini lebih menyatukan kita.

Baru-baru ini kecoh satu Malaysia apabila keluarnya keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyebabkan satu kuasa Mahkamah Syariah dilucutkan. Tidak lama selepas itu, ada pula enakmen lain yang dicabar dan yang terbaru, enakmen tentang menghina mahkamah pula dicabar. Umat Islam marhaen seolah-olah tidak boleh berbuat apa-apa walaupun ada rakan-rakan peguam kita bermati-matian berlawan di mahkamah.

Kita seringkali lemah di mahkamah walaupun sistem perundangan kita sudah cantik, walaupun tidak sempurna. Sekurang-kurangnya jauh lebih baik dan Islami berbanding banyak negara Islam lain. Apa yang diperuntukkan dalam sistem atas kertas pastinya rapuh jika mereka yang mengisinya tidak punyai ideologi Islam kerana apa sahaja boleh diubah mengikut neraca sekular dan liberalisme agama.

Itulah penting secara asasnya untuk setiap muslim di Malaysia berpegang bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam, maka semuanya perlu ke arah itu dan tiada ruang untuk elemen-elemen sekularisme dan liberalisme agama masuk dan menguasai. Jika tidak, mereka akan sentiasa gunakan hujah bahawa negara ini adalah sekular, maka segalanya terutamanya perundangan mesti ditafsir secara sekular.

Kita ada kuasa politik, tetapi itu hanya percaturan bilangan kerusi semata kerana ekosistemnya itu tidak mengizinkan. Apabila saya menyebut tentang ekosistem, ianya tidak sesempit politik kepartian tetapi ianya termasuk juga gerakan masyarakat sivil Islam (NGO Islam), ideologi arus perdana, institusi-institusi Islam, pegangan ekonomi umat Islam dan sebagainya yang seringkali dilepaspandang oleh para pemimpin kita. Inilah elemen-elemen yang menguat dan menjadi ‘support system’ secara langsung atau tidak langsung kepada kekuasaan politik Islam di Malaysia.

Kecuaian terhadap elemen-elemen inilah yang menjatuhkan sistem khalifah, kerana ianya bukan jatuh begitu sahaja atau tiba-tiba. Ianya berpunca dari siri-siri perpecahan, kelemahan ekonomi umat, keruntuhan akhlak dan integriti, institusi-institusi Islam yang sudah rosak dan sebagainya.

Kita ada misi yang besar dan solusinya bukan ‘straight forward’ kerana kita sedang menghadapi sistem yang kompleks, baik dari sudut politik, pemerintahan, ekonomi dan sebagainya.

Sebab itulah kita menggerakkan pelbagai inisiatif seperti ‘Buy Muslim First (BMF)’, ‘Vote Muslim First (VMF)’ atau Undi Calon Muslim Berwibawa, membina kekuatan media dan pelbagai lagi dengan harapan ianya menjadi batu bata kepada membina sebuah kekuasaan umat yang ampuh pada masa akan datang.

Impaknya mungkin bukan hari ini, mungkin seratus tahun lagi. Siapa tahu? Dan usaha kami ini tidaklah cukup kerana kita semua sebagai umat Islam perlu bekerja untuk membina ekosistem ini dengan kapasiti dan bidang masing-masing.

Saya harap coretan saya kali ini dapat memberi gambaran dan refleksi yang lebih luas bagaimana kita perlu berfungsi dan bekerja. Berbeza parti, berbeza persatuan atau organisasi memang sudah tidak boleh dielakkan tetapi ‘common understanding’ itu adalah perlu supaya kita saling melengkapi dan tidak tempang.

Wallahu’alam.

Aminuddin Yahaya
Presiden ISMA

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts