iGuru mahu kerajaan kembalikan program J-Qaf

 

BANGI – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) mahu program pendidikan J-Qaf yang pernah dilaksanakan pada 2005, diwujudkan semula khususnya di peringkat rendah dan menengah rendah.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, program J-Qaf yang dirintis oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi itu, disifatkan berjaya menerap nilai-nilai penghayatan agama di kalangan pelajar, termasuk mengatasi masalah buta al-Quran.

Bagaimanapun beliau berkata, program itu mula menghadapi zaman suram dan tidak diteruskan di peringkat menengah selepas 2016, walaupun ia membantu dalam membentuk sahsiah pelajar serta kesedaran terhadap kepentingan solat, asas Fardhu Ain dan penguasaan Jawi.

“Satu kajian yang telah dijalankan oleh JAKIM mendapati kira-kira 23-25 peratus pelajar menengah rendah tidak tahu mengucap, membaca al-quran, menulis jawi, mengetahui rukun iman dan islam serta mengabaikan solat lima waktu.

“Walaupun Kementerian Pendidikan memperkenalkan program SUMUR (sahsiah unggul murid) diperingkat sekolah rendah, namun ia tidak diteruskan secara menyeluruh diperingkat sekolah menengah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 tidak menjelaskan peranan subjek Pendidikan Islam di dalam memperkasakan kemenjadian murid.

Katanya, perkara itu menjadi satu kebimbangan jika subjek berkenaan tidak diperkasa dalam sistem pendidikan arus perdana, ia bakal mendedahkan pelajar dengan pengaruh liberalisme.

Selain mengembalikan semula J-Qaf, iGuru turut menggesa kerajaan khususnya Bahagian Pendidikan Islam diberikan nafas baharu dan peranan lebih besar untuk memperkasa pendidikan Islam di dalam sistem pendidikan negara.

“Pada masa yang sama pihak KPM perlu menilai semula PPPM 2013-2025 agar diberikan penekanan kepada aspek pendidikan Islam di samping penekanan kepada penguasaan sains dan matematik serta bahasa.

“iGuru bimbang gelombang TN50 yang dicanang oleh kerajaan serta menghadapi revolusi industri 4.0 akan gagal membina tamadun manusiawi, apabila aspek penghayataan keagamaan di dalam sistem pendidikan kita dikesampingkan,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts