Salahkah tampal ‘sticker’ ayat al-Quran di kereta?

Sebilangan kenderaan sering meletakkan pelekat tertera kalimah suci al-Quran atau nama ALLAH SWT dan Rasulullah SAW pada kenderaan khususnya di cermin belakang.

Tidak dinafikan perbuatan itu secara tidak langsung dapat memberi keinsafan kepada pemandu lain yang melihat sekali gus mengingatkan kita kepada al-Quran.

Namun, bagaimana pula sekiranya pelekat tersebut mengundang kritikan apabila pemilik kenderaan memandu secara sambil lewa dan berbahaya.

Tentu sahaja tindakan itu akan mengundang perasaan marah kepada pihak lain sehingga tanpa sedar mengeluarkan kata-kata kesat.

Pendapat tentang ketidaksesuaian terhadap penggunaan pelekat kalimah al-Quran mungkin bermain-main di minda terutama apabila melihat cara pemanduan yang melulu.

Melihat kepada situasi itu, Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad berpandangan itu bergantung kepada penerimaan masing-masing.

Tujuan pelekat itu diletakkan adalah untuk nasihat, namun mungkin kerana tingkah laku yang kurang ‘molek’ mengakibat mesej tersebut disalah erti.

Menurut pandangannya, meletakkan pelekat kalimah al-Quran pada kenderaan tidak menjadi salah selagi tidak merendah-rendahkan seperti meletakkannya pada bahagian bawah yang berkemungkinan boleh dipijak atau sebagainya.

“Pelekat itu diletakkan selari dengan tempat duduk. Jadi ditempat pada bahagian tinggi, insya-ALLAH kalimah tersebut akan dihormati.

“Namun berhati-hati kerana bimbang jika diletakkan terlalu rendah, berkemungkinan akan dipijak terutama ketika hendak mencuci kereta,” jelasnya.

Mohd Yusof turut menasihatkan agar pemilih kenderaan seharusnya menghormati pelekat kalimah al-Quran yang diletakkan pada kereta agar tidak dipandang serong terutama kepada mereka bukan beragama Islam.

Situasi begini bimbang akan menjejaskan imej agama kerana perbuatan memandu secara berbahaya bukan sahaja mengancam nyawa, tetapi turut mengundang perasaan marah.IKLAN

“Seperti yang saya katakan, hormati dan pelihara kalimah al-Quran sebaik-baiknya. Jangan biarkan kata-kata nista atau caci maki daripada orang lain kerana bimbang akan mengundang fitnah,” terangnya.

Seterusnya mengambil pandangan kedua oleh pendakwah terkenal, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Asyraf menjelaskan sememangnya ada perbahasan ulama tentang meletakkan atau menggantung ayat-ayat al-Quran di tempat tertentu, cuma di atas kenderaan ini tiada lagi perbincangan berdasarkan hadis Nabi.

“Zaman dahulu juga belum pernah kita mendengar menggantung ayat al-Quran di atas unta atau kuda, jadi kaedahnya mudah seperti Nabi masuk tandas, lalu Baginda menanggalkan cincin yang tertera kalimah ALLAH.

“Berdasarkan situasi itu, ulama meletakkan hukum kepada banyak benda, jika hendak menggantung ayat al-Quran di mana-mana sahaja pastikan tengok di mana tempatnya, jika tidak sesuai maka tidak boleh diletakkan sembarangan contohnya seperti di tandas.

“Akan tetapi jika ayat al-Quran tersebut diletakkan di atas kereta dan boleh menjamin ia dapat dijaga dengan baik contohnya di hadapan cermin kereta, maka hukumnya dibolehkan,” ujarnya.

Firman ALLAH SWT “Demikianlah (perintah ALLAH). Dan barangsiapa mengagungkan syiar-syiar ALLAH, maka sesungguhnya hal itu timbul dari ketakwaan hati”. (Surah al-Hajj ayat 32) – Sinar Islam Plus

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts