‘Saya baca Al-Quran dulu baru baca buku’

image

 

KUANTAN – Membaca al-Quran setiap hari merupakan amalan rutin Ainul Sufina Norkasmadi, 20 yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2015 dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (Smart) itu berkata, dia lebih dahulukan membaca al-Quran sebelum membaca buku ataupun mengulang kaji pelajaran.

“Bagi saya al-Quran adalah sumber motivasi. Apa sahaja yang kita mahu, sebenarnya  terkandung dalam al-Quran .

“Membacanya al-Quran dengan terjemahan membuatkan kita faham setiap ayat yang  dibaca. Semuanya adalah mengenai kehidupan dan kejayaan sebagai hamba ALLAH,”katanya yang mengambil jurusan kemanusiaan.

Anak kedua dari enam beradik tersebut bercita-cita menjadi peguam syariah dan berhasrat melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Anak kepada pasangan Pegawai Perkhidmatan Pelajaran di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Norkasmadi Nordin,46, dan Zakiah A Jamal, 46,  itu menjadikan kegagalan semasa peperiksaan Sijil  Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai permulaan episod kejayaan dirinya.

“Semasa SPM,saya hanya mendapat 3A sahaja. Sedih memang sedih tetapi berbalik semula kepada al-Quran tadi, saya buat solat istikharah dan solat hajat, akhirnya menemui jawapan untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam.

“Alhamdulillah, janji ALLAH itu pasti, cuma lambat atau cepat sahaja. Dengan keputusan ini, saya boleh mencapai cita-cita itu,”katanya yang turut mengamalkan solat Dhuha setiap hari.

Ainul juga merupakan seorang pelajar aktif dalam kokurikulum apabila muncul sebagai pendebat terbaik peringkat kebangsaan sempena Kejohanan Debat Antarabangsa 2014.

Ibu Ainul, Zakiah berkata, cara didikan anak-anaknya adalah sama seperti orang lain tetapi, mewajibkan setiap anak-anak membaca al-Quran sejak dari kecil.

“Itu sahaja yang saya tekankan kepada anak-anak. Tidak mengapa kalau tidak mahu baca buku,tetapi baca al-Quran itu wajib. Alhamdulillah,hasilnya mereka bukan sahaja rajin baca al-Quran  tetapi buku pelajaran juga,”katanya.

Ainul merupakan salah seorang daripada tiga pelajar cemerlang Smart yang mendapat keputusan cemerlang STPM.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/nasional/saya-baca-al-quran-dulu-baru-baca-buku-1.491890 (2 MAC 2016)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts