Selesai dengan ikhlas, isu ibu, anak beza agama

Georgetown: “Kemelut ini boleh ditangani dengan mudah jika semua pihak terbabit sudi berlapang dada dan mencari penyelesaian dengan ikhlas tanpa menganiaya sesiapa,” kata Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Ia susulan isu perbezaan agama Loh Siew Hong dengan tiga anaknya yang beragama Islam, di sini.

Wan Salim berkata, cadangan Pusat Perkhidmatan Hindu (Ingat) supaya Siew Hong mengambil tindakan undang-undang bagi membatalkan pertukaran agama tiga anaknya dilihat tidak praktikal.

“Orang bukan Islam perlu tahu bahawa daripada perspektif agama Islam, keislaman seseorang tidak terbatal menerusi keputusan mahkamah selagi dia sendiri tidak mengaku keluar daripada agama Islam dengan kerelaannya tanpa sebarang paksaan daripada sesiapa.

“Saya berpandangan bahawa kemelut ini boleh ditangani dengan mudah jika semua pihak terbabit berlapang dada dan mencari penyelesaian dengan ikhlas tanpa menganiayai sesiapa,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan tiga kanak-kanak berusia antara 10 hingga 14 tahun sah memeluk Islam.

Namun ibu mereka, Loh Siew Hong membuat laporan polis bagi meminta kepulangan anaknya yang didakwa ditahan pendakwah wanita dari badan bukan kerajaan (NGO) mualaf di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, persoalan utama dalam isu berkenaan ialah bagi menghimpunkan semula Siew Hong dan anak-anaknya yang terpisah sekian lama serta meneruskan ikatan kasih sayang antara mereka.

Katanya, ia boleh direalisasikan tanpa membatalkan keislaman anak-anak dan memaksa mereka kembali kepada agama asal.

“Pihak berkuasa boleh membenarkan ibu kanak-kanak itu bertemu dengan mereka sekerap mungkin di mana-mana tempat yang selamat.

“Malah Siew Hong boleh membawa anak-anaknya pulang ke rumah secara berkala, misalnya pada hujung minggu di bawah pengawasan pihak berkuasa,” katanya lagi.

Menurut Wan Salim, agama Islam tidak menghalang sama sekali anggota keluarga yang berbeza agama supaya tinggal serumah, malah mereka boleh makan bersama asalkan tidak membabitkan makanan yang haram.

Katanya, kanak-kanak berkenaan juga boleh meneruskan pelajaran bagi kepentingan hidup mereka pada masa hadapan.

“Saya cadangkan supaya mereka dimasukkan ke sekolah berasrama yang terjamin daripada aspek kebajikan dan keselamatan dan ia adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut ini.

“Dengan cara ini, tiada mana-mana pihak yang teraniaya selain dapat mengelak sensitiviti umat Islam yang mungkin menanggap pihak tertentu ingin memaksa penganut Islam supaya keluar daripada agamanya,” katanya.

Sebelum ini media juga melaporkan, Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy turut meminta polis menyiasat keberadaan tiga kanak-kanak itu. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts