Semua agensi Persekutuan kena patuh fatwa, undang-undang Islam: Dr Shamrahayu

 

BANGI – Semua agensi Persekutuan bertanggungjawab untuk patuh kepada undang-undang Islam, tegas Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz.

Beliau berkata, adalah tidak adil undang-undang syariah diketepikan sebegitu rupa oleh mahkamah sivil dalam isu penasaban anak.

Beliau yang juga pakar Perlembagaan, tidak setuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penasaban anak luar nikah kepada bapa biologi dengan menolak keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

“Apabila agensi Persekutuan tidak tertakluk kepada undang-undang syariah, ia menafikan kebebasan umat Islam.

“Walhal, tanggungjawab ia adalah untuk taat kepada undang-undang Islam. Sekiranya tidak, ia akan ‘mengecewakan’ undang-undang itu sendiri,” katanya pada Forum Sudut Pandang yang dianjurkan oleh Arus Baru dan ismaweb.net di sini, malam tadi.

Khamis lalu, Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya membenarkan rayuan yang dikemukakan pasangan yang memfailkan semakan kehakiman untuk memaksa Ketua Pengarah JPN menggantikan nama anak mereka yang berbin atau berbinti ‘Abdullah’ dengan nama bapa kanak-kanak itu dalam sijil kelahiran.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang merupakan seorang daripada tiga hakim yang bersidang, berkata, Ketua Pengarah JPN tidak terikat dengan fatwa atau fatwa agama yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk memutuskan nama bapa anak luar nikah orang Islam.

Beliau berkata, bidang kuasa Ketua Pengarah JPN adalah sivil dan tertakluk kepada menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak itu memenuhi syarat-syarat mengikut Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA), yang merangkumi semua kanak-kanak tidak sah taraf orang Islam dan bukan Islam.

Abdul Rahman berpendapat fatwa tidak mempunyai kuasa undang-undang dan tidak dapat membentuk asas perundangan bagi Ketua Pengarah JPN memutuskan tentang nama bapa anak luar nikah mengikut Seksyen 13A (2) BDRA.

Mengulas lanjut, Dr Shamrahayu meminta supaya semua agensi kerajaan menerima undang-undang peribadi Islam.

“Hakim menyatakan Muzakarah Majlis Fatwa tidak mengikat, tapi kalau difatwa, saya rasa ia perlu mengikat. Kita perlu pinda fatwa, jelaskan secara eksplisit supaya perbicaraan dalam mahkamah itu lebih mudah. Kalau dah jadi fatwa pun tak nak ikut, saya rasa itu salah,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts