Pengajaran Hadis 40 Imam Nawawi tepati aspirasi negara: MUIS

BANGI – Majlis Ulama ISMA (MUIS) menyambut baik inisiatif kerajaan memperkenalkan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di setiap sekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM). 

Menyifatkannya sebagai sebagai suatu usaha positif, Pengerusinya, Datuk Zamri Hashim yakin ia dapat membantu meningkatkan sahsiah dan pemikiran pelajar melalui kerangka hadis Nabi ﷺ

“MUIS melihat usaha ini penting bagi menzahirkan bahawa ajaran Islam adalah ajaran yang bersifat sejagat dan universal, bersesuaian dengan perutusan Rasulullah ﷺ adalah sebagai rahmat kepada sekalian alam. 

“Ia juga sebagai langkah menyebarkan pengajaran dan intipati kandungannya yang positif kepada semua lapisan masyarakat, termasuklah masyarakat berlainan agama,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, MUIS menyeru pihak-pihak tertentu supaya bersikap positif dan terbuka dalam menghadapi perkara ini.

Ini kerana, hakikatnya inisiatif ini menepati aspirasi kenegaraan yang beridentitikan negara Islam. 

“MUIS juga menyarankan agar semua agama yang diamalkan di Malaysia membuktikan bahawa pengamalan agama mereka tidak menolak atau tertutup dalam menerima identiti kenegaraan Malaysia yang berdiri atas tonggak agama Islam dan orang Melayu serta sistem beraja yang telah dibina sekian lama,” katanya.

Pada 19 Ogos lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek melancarkan modul itu bagi  memupuk nilai-nilai daripada hadis Nabi Muhammad ﷺ di peringkat sekolah.

Modul itu akan diperkenalkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sebelum dilancarkan ke sekolah awam lain.

Bagaimanapun, Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) menyatakan ‘kebimbangan mendalam’ kemungkinan pelajar bukan Islam mempelajari modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

Pertubuhan itu mendakwa, Perkara 12(2) dan Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menghalang rakyat Malaysia daripada mengambil arahan dalam mana-mana agama selain agama mereka.

Meredakan kebimbangan itu, Pegawai khas kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying iaitu Lim Swee Kuan berkata, Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang akan diperkenalkan adalah untuk pelajar Islam sahaja.- Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts