Senarai tokoh dan pakar kewangan Islam di Malaysia

 

Sememangnya Malaysia telah berjaya menarik perhatian dunia sebagai model atau acuan terbaik dalam aspek kewangan Islam. Malah pada tahun 2012 Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) mengiktiraf Malaysia sebagai salah sebuah negara perintis sistem kewangan Islam dunia dengan pengenalan dana kewangan Islam atau sukuk.

Kalau dah jadi rujukan dunia mestilah kita mempunyai pakar-pakar kewangan Islam kita sendiri.

Jom kita berkenalan dengan tokoh-tokoh dan pakar-pakar kewangan Islam di Malaysia.

#1. Datuk Dr. Mohd Daud Bakar

 

 

Datuk Dr. Mohd Daud merupakan Pengasas dan Pengerusi Kumpulan bagi Amanie Advisors, sebuah firma penasihat Syariah yang mempunyai pejabat di Kuala Lumpur, Dubai, Luxembourg, Kaherah, Tunis dan Dublin. Di bawah kepimpinan keusahawanan dan pengurusan strategiknya, Amanie Advisors tampil cemerlang dengan meraih anugerah ‘Infrastruktur Pengetahuan Ekonomi Islam’ oleh Duli Yang Teramat Mulia, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE serta Pemerintah Dubai di Sidang Kemuncak Ekonomi Islam Global 2015.

Sebelum itu, pada 2014, Datuk Dr. Mohd Daud telah dianugerahkan gelaran ‘Tokoh Perdana Anugerah Maulidur Rasul 2014’ oleh Yang di-Pertuan Agong sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan.

Beliau juga merupakan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan dan Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa. Beliau juga merupakan bekas Naib Canselor bagi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan merupakan ahli lembaga pengarah untuk Sime Darby Property Berhad.

Selain daripada itu, Datuk Dr. Mohd Daud merupakan ahli lembaga Syariah bagi National Bank of Oman (Oman), Noor Islamic Bank (Dubai), Amundi Asset Management (France), Morgan Stanley (Dubai), Bank of London and Middle East (London), BNP Paribas (Bahrain), Bank Al Khair (Bahrain), Dow Jones Islamic Market Index (New York) dan SEDCO Capital (Saudi Arabia).

 

 

Beliau turut menghasilkan sebuah buku bertajuk Shariah Minds In Islamic Finance dan Minda Syariah Kewangan Islam yang boleh didapati di MPH, Kinokuniya dan juga laman web Shariah Minds.

Facebook: Mohd Daud Bakar

#2. Datuk Dr. Abdul Halim Ismail

 

 

Datuk Dr. Abdul Halim Ismail juga dikenali sebagai Bapa Perbankan Islam Malaysia dan menjadi rakyat Malaysia pertama dinobatkan sebagai penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam bersempena Forum Kewangan Islam Antarabangsa (GIFF) 2014.

Pemilihan beliau sebagai penerima anugerah berprestij ini adalah tepat berdasarkan pencapaian dan jasa yang disumbangkan terhadap kemajuan industri kewangan Islam negara dan antarabangsa.

Berdasarkan sumbangan Abdul Halim dalam bidang kewangan Islam, beliau layak untuk dinobatkan sebagai Bapa Perbankan Islam di Malaysia kerana telah memainkan peranan penting dalam merangka penubuhan Bank Islam pertama di Malaysia pada tahun 1983.

Beliau juga telah dilantik sebagai Pengarah Urusan pertama Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam). Di bawah kepimpinannya, bank tersebut membangun pesat dan unggul di peringkat antarabangsa.

Datuk Dr. Abdul Halim merupakan anak Melayu pertama yang berjaya menjadi graduan Universiti Oxford, United Kingdom (UK) di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi pada tahun 1969.

Pengalaman berkhidmat sebagai Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1975, Abdul Halim dilantik sebagai Ketua Unit Perancangan bagi Perunding Bersatu Bhd. sebelum berkhidmat di Bank Bumiputra Malaysia Bhd. sebagai Ketua Ahli Ekonomi dan Ketua Jabatan Perancangan dan Pembangunan.

Pada tahun 2001, beliau dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Kewangan Islam oleh Persatuan Bank-Bank Islam Malaysia (AIBIM) atas pencapaian yang berterusan dalam bidang kewangan Islam. Abdul Halim juga merupakan Tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan pada tahun 2004.

Di samping mempunyai ilmu yang luas dalam bidang pengurusan ekonomi, beliau juga berkeupayaan dalam ilmu syariah yang mana banyak institusi kewangan Islam melantik beliau sebagai penasihat syariah termasuk pihak pengawal selia seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Selain menjadi Pengarah Urusan pertama Bank Islam, Abdul Halim juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Syarikat Takaful Malaysia Bhd. iaitu syarikat takaful pertama di negara ini dan turut membantu menubuhkan BIMB Securities Bhd. (BIMB Securities), syarikat broker saham Islam pertama di Malaysia.

Di bawah bimbingan beliau, industri takaful dan institusi kewangan Islam berkembang pesat di negara ini yang kemudiannya menjadikan kewangan Islam sebagai alternatif yang semakin menarik dan pelengkap kepada kewangan konvensional.

Antara hasil kajian dan tulisan Abdul Halim yang telah diterbitkan adalah BIMB: Penubuhan dan Operasi yang diterbitkan BIMB, The Role of Islamic Instruments in Deepening Equity Markets pada tahun 1999 dan The Capital Market Masterplan: A Roadmap for Sustainable Growth & Development (2002).

#3. Dr. Aznan Hasan

 

 

Dr. Aznan Hasan merupakan Konsultan Syariah bagi Maybank Investment Bank dan Hong Leong Islamic Bank, dan Penasihat Shariah bagi Bursa Malaysia. Beliau juga merupakan Profesor Madya dalam perundangan Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dan berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Perundangan Islam di UIA.

Beliau berkhidmat sebagai ahli lembaga Syariah bagi Accounting and Auditing Organisation of Islamic Financial Institutions (AAOIFI) dan sebagai Presiden bagi Association of Shariah Advisors in Islamic Finance (ASAS). Dr. Aznan Hasan juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Syariah untuk Malayan Banking Berhad dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah di Maybank Islamic Berhad.

Beliau juga merupakan Naib Pengerusi bagi Majlis Penasihat Syariah di Suruhanjaya Sekuriti. Beliau turut berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Penasihat Syariah bagi ABSA Islamic Bank (South Africa), FNB Bank (South Africa), European International Islamic Bank (EIIB) (London) Yasaar Limited (London), Khalij Islamic (London), Amanahraya Berhad, Amanah Raya Investment Bank Labuan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dr. Aznan Hasan turut menghasilkan buku bertajuk Fundamentals of Shariah in Islamic Finance yang boleh didapati di MPH Online.

Facebook: Aznan Hasan

#4. Dato’ Haji Syed Moheeb Syed Kamarulzaman

 

 

Beliau merupakan pengamal insurans yang berkanun (chartered insurance practitioner) dan Ahli Pengamal (Practising Member) untuk Association of Chartered Islamic Finance Professionals (ACIFP). Kini beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif MII. Beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Takaful Ikhlas Sdn Bhd, anak syarikat MNRB Holdings Berhad sehingga 1 November 2012. Beliau mempunyai lebih daripada 30 tahun pengalaman dalam industri insurans dan takaful.

Dato’ Hj Syed Moheeb juga merupakan ahli lembaga pengarah bagi Asian Institute of Finance (AIF), badan penaung bagi institut latihan industri kewangan Malaysia. Beliau juga merupakan ahli Panel Pembangunan Profesional di International Centre of Education in Islamic Finance (INCEIF), sebuah universiti global untuk Kewangan Islam, dan Academic Quality Assurance Committee (AQAC) INCEIF serta Jawatankuasa Akreditasi bagi Asian Institute of Finance (AIF).

#5. Dr. Zaharuddin Abd Rahman

 

 

Dr. Zaharuddin Abd Rahman, seorang tokoh kewangan Islam di Malaysia yang tidak perlu diperkenalkan dan tersangatlah popular. Di antara jawatan yang disandangnya termasuk:

  • Penolong Professor (Assistant Professor atau Pensyarah Kanan), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
  • Presiden, Multaqa Asatizah & Du’at (MURSHID)
  • Penasihat Shariah, KWSP Simpanan Shariah
  • Penasihat Akademik, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs)
  • Pakar Kewangan Islam Jemputan, Jabatan Akauntan Negara Malaysia
  • Ahli Majlis Perundingan Islam (MPI), Malaysia
  • Ahli, Majlis Penasihat Shariah, ACR ReTakaful Berhad, Malaysia
  • Ahli, Majlis Penasihat Shariah ACR MEA Takaful, Bahrain
  • Ahli Majlis Fatwa Perlis
  • Penasihat Shariah, BIMB Securities Sdn Bhd
  • Penasihat Shariah, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB)
  • Pengerusi, Jawatankuasa Penasihat Shariah, BNP Paribas Najmah Malaysia
  • Pengerusi, Jawatankuasa Penasihat Shariah, Exim Bank Berhad
  • Penasihat Shariah, Salam Sedania Capital Sdn Bhd
  • Felo Dakwah, YADIM
  • Pengerusi, Jawatankuasa Penasihat Shariah, Onexox Sdn Bhd
  • Penasihat Shariah, Baco Medicare Group Sdn Bhd
  • Penasihat Shariah, Yasmin Holdings Group Sdn Bhd
  • Pengerusi, KFiqh Sdn bhd
  • Penasihat Halal & Shariah, Elzar Resources Sdn Bhd
  • Pengerusi Jawatankuasa Shariah, Ana Edar Sdn Bhd
  • Kolumnis Majalah Solusi, (Ruangan Fiqh Muamalat) terbitan Telaga Biru Sdn Bhd
  • Kolumnis Majalah Al-Ustaz terbitan Telaga Biru Sdn Bhd
  • Penceramah undangan di TV1, TV3, TV9, TV Al-Hijrah, Astro, TV al-Hikmah, Radio IKIMfm, Radio Bernama 24, Radio Nasional

Dr. Zaharuddin Abd Rahman juga sangat berpengalaman luas seperti berikut:

  • Ahli, Panel Kajian Shariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
  • Perunding & Pakar Shariah, Bank Negara Malaysia (BNM)
  • Penerima Anugerah Media Islam Negara Ke3, Laman Web Islamik terbaik
  • Ahli Majlis, IIUM Institute of Islamic Banking & Finance (IIiBF)
  • Perunding Shariah, UEM Land Berhad
  • Penasihat Shariah & Board Member, Al-Naqiy Islamic Solution Sdn Bhd, Global Islamic Advisory & Consultancy
  • Ahli, Majlis Penasihat Shariah, Al Rajhi Bank Malaysia Berhad
  • Associate Lecturer, The Markfield Institute of Higher Education, United Kingdom
  • Penasihat Shariah, Siraj Capital Ltd, Jeddah
  • Kaunselor Shariah, Ingress Corporation Bhd
  • Felo Akademi, Pusat Kajian Modeniti & Masyarakat Madani
  • Kolumnis, RHB ISLAMIC Speaks, NST Business Times
  • Kolumnis Majalah ANIS, terbitan Galeri Ilmu
  • Kolumnis Ruangan An- Nur, Akhbar METRO AHAD
  • Pengurus Kanan, Shariah Compliance Department, RHB ISLAMIC Bank Berhad
    Setiausaha Majlis Penasihat Shariah, Asian Finance Bank Bhd (Anak Syarikat Qatar Islamic Bank)
  • Penasihat Shariah Luaran, RHB Islamic Bank Berhad
  • Ahli, Konsultan Shariah, Standard Chartered (Sadiq) Bank (Malaysia) Berhad
  • Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, OSK Investment (Islamic) Bank Berhad
  • Ahli, Majlis Penasihat Shariah, Deutsche (Islamic) Bank, Malaysia
  • Pensyarah Sambilan, (mengajar subjek Fiqh Muamalat dan Usul Fiqh) European Institute of Human Science, Wales, UK
  • Penasihat Shariah, Storm Readers Sdn Bhd

Dr. Zaharuddin Abd Rahman juga telah menghasilkan banyak buku ilmiah seperti berikut:

  • Wang, Anda dan Islam terbitan True Wealth Sdn Bhd (Dec 2007) – 7,000 copies in 12 months
  • Money You and Islam, terbitan True Wealth Sdn Bhd (Dec 2008)
  • Formula Solat Sempurna, terbitan Telaga Biru Sdn Bhd (March 2008) – Best Seller 14,000 copies in 9 months
  • Untukmu Wanita, terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd (Ogos 2009)
  • Untukmu Umat, terbitan Alaf 21 Sdn Bhd (Julai 2009)
  • Riba dan Isu Semasa Kewangan, terbitan Telaga Biru Sdn Bhd (Feb 2010)
  • Kontrak and Produk Perbankan Islam, terbitan Telaga Biru Sdn Bhd (Oktober 2009)
  • Islamic banking Products and issues, terbitan Cert Publication Sdn Bhd
  • Maqasid As-Shariah Fi Ahkam al-Buyu’ (in arabic), terbitan IIUM Press (April 2009)
  • Comprehensive Prayer Formula, terbitan Telaga Biru Sdn Bhd (Nov 2009)
  • Murabahah : Teori, Isu dan Aplikasi, terbitan True Wealth Sdn Bhd (June 2009)
  • Ledakan Facebook : Antara Dosa & Pahala, terbitan PTS Islamika (Jan 2012)
  • Diari Musafir, Jangan Berhenti Berlari, terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd (April 2012)
  • Indahnya Politik Cara Islam (2013)
  • Fiqh Kewangan Islam terbitan PTS (2014)
  • Ajaibnya Sedekah terbitan Telaga Biru (2014)
  • Formula Solat Sempurna Ekspress terbitan Telaga Biru (2013)
  • Sebelum Menjadi Ulama & Pendakwah terbitan Telaga Biru ( 2014)

Sila follow Dr. Zaharuddin Abd Rahman di Facebook kerana beliau banyak berkongsi ilmu dan soal-jawab berkaitan muamalat dan kewangan Islam.

Facebook: Dr Zaharuddin

#6. Haji Razli Ramli

 

 

Haji Razli Ramli mempunyai pengalaman lebih daripada 20 tahun dalam bidang kewangan Islam. Kepakaran beliau adalah menjalankan transformasi operasi perbankan tradisional kepada operasi perbankan patuh Syariah.

Di bawah kendalian beliau di jabatan Penasihat Perniagaan Syariah di IBFIM, telah dianugerahkan Firma Penasihat Terbaik, CPI Financial Dubai untuk tahun 2012 dan 2013. Beliau sekarang berkhidmat sebagai Ketua Penasihat, Jabatan Penasihat Perniagaan – Syariah di IBFIM (Islamic Banking and Finance Institute Malaysia). Beliau merupakan tenaga pengajar yang berpengalaman dan telah dijemput untuk berkongsi pengalaman praktikal beliau di luar negara seperti Rusia, Eropah, Timur Tengah, ASEAN, China dan Hong Kong.

Beliau turut menulis beberapa buah buku Bersama seperti :

  • Islamic Hire-Purchase (Ijarah Thumma Al-Bai’ – AITAB): The Handbook bersama Hasleenda Onn
  • Islamic Banking Practices From the Practitioner’s Perspective bersama Mohammad Khairi Saat & Haryani Aminuddin
  • Islamic Banking Recovery Process bersama Amirullah Haji Abdullah
  • Issues in Islamic Finance From The Practitioners’ Perspective bersama Mohd Nasir Ismail & Ahmad Zakirullah M. Shaarani
  • Understanding Islamic Capital Market bersama Zairulnizad Shahrim.

Kesemua buku ini boleh didapati di laman web IBFIM.

Beliau juga sangat rajin menjawab soalan orang ramai di Facebook dengan menggunakan bahasa santai. Rajinlah follow FB beliau ya.

Facebook: Haji Razli Ramli

#7. Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

 

 

YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Bin Dato’ Dusuki telah dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkuatkuasa pada 29 Julai 2015.

Sebelum pelantikan ini, beliau telah diamanahkan sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia pada 03 Jun 2013. Beliau juga merupakan Ahli Dewan Negara dan juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Pengerusi Biro Agama Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan.

Dalam kerjaya peringkat awal, Dato’ Dr. Asyraf Wajdi pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kemudian bertugas sebagai Ketua Hal-Ehwal Penyelidikan, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA) dan Profesor Madya di International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) iaitu institusi pengajian tinggi di bawah Bank Negara Malaysia.

Dalam dunia kewangan Islam, beliau banyak membantu membangunkan polisi-polisi Syariah dan dasar-dasar kewangan Islam untuk Bank Negara Malaysia dan juga luar negara termasuk memberikan latihan dan khidmat Syariah dalam kewangan Islam bagi negara-negara seperti Oman, Turki, Maldives, Emiriyah Arab Bersatu, United Kingdom, Korea Selatan, Afrika Selatan dan lain-lain. Beliau juga pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Affin Islamic Bank, Pengerusi Jawatankuasa Syariah Affin Banking Group dan Penasihat Syariah AIA PUBLIC Takaful Berhad hampir 10 tahun.

Selain daripada itu, Dato’ Dr. Asyraf Wajdi diamanahkan sebagai Penasihat Syariah dan Konsultan Kewangan Islam di beberapa instititusi Kewangan Islam di dalam dan luar negara termasuklah Maldives Capital Market Development Authority, Maldives Allied Insurance Pvt Ltd., Price Waterhouse Coopers (PWC) Malaysia, London-based Mortgage Company Chain Mender Limited, London-based Halal Industries PLC, US-Based Islamic Financial Institution United Chartered Bank (UCB), ISRA Consultancy Sdn. Bhd., Singapore-based IFIS Business Advisory Pte Ltd dan KA Syariah Advisory

Beliau juga aktif memberi latihan dan tunjuk ajar dalam perbankan dan kewangan Islam kepada para Hakim-hakim Persekutuan dan Mahkamah Tinggi, para pengurusan dan pegawai tertinggi Bank Negara Malaysia, pengamal perbankan dan takaful, pegawai-pegawai kerajaan dan orang ramai dalam dan di peringkat antarabangsa.

Pada tahun 2011, beliau turut mendapat pengiktirafan Kewangan Islam Antarabangsa apabila dinobatkan sebagai “The Most Upcoming Personality in Islamic Finance” di Persidangan Antarabangsa Oman Islamic Economic Forum.

Facebook: Asyraf Wajdi Dusuki / Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

Jika ada nama yang kami terlepas pandang, sila nyatakan di ruang komen, insyaAllah kami akan kemaskini senarai ini.

Alhamdulillah, Malaysia juga mampu melahirkan cendekiawan bertaraf dunia seperti para tokoh ini. Peranan mereka ini adalah cukup penting dalam memastikan pematuhan produk dan perkhidmatan kewangan Islam kepada prinsip-prinsip Shariah yang telah digariskan oleh Al-Qur’an dan Sunnah.

Semoga lebih ramai lagi pakar seperti mereka dilahirkan demi memartabatkan sistem kewangan Islam.

Sumber: http://www.majalahlabur.com/inspirasi/senarai-tokoh-dan-pakar-kewangan-islam-di-malaysia/

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts