Serbuan penganut Syiah oleh JAIS ikut prosedur: MB Selangor

 

SHAH ALAM – Serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas penganut ajaran Syiah pada Jumaat malam di Gombak, adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Katanya, kerajaan Selangor tetap berpegang terhadap larangan ke atas amalan ajaran Syiah seperti yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 2013.

“Kita sudah jelaskan dan berulang kali dalam khutbah Jumaat menyebut berkenaan larangan terhadap ajaran Syiah ini,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Selangor Agrofest 2019 di Tapak Bazarena, Seksyen 13, di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jais, Azlinda Azman dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, Pengerusi Syiah Malaysia, Kamil Zuhairi Abdul Azizi adalah antara 22 individu yang ditahan Jais dalam serbuan di Taman Sri Gombak, dekat sini, Jumaat malam.

Katanya, serbuan pada kira-kira jam 9.55 malam itu dilakukan selepas pihaknya mendapat aduan dari orang awam, berkaitan aktiviti yang akan dilakukan oleh penganut syiah di markas Hauzah ar-Ridha, di Taman Sri Gombak.

 

 

“Beberapa barang turut disita semasa tangkapan berkenaan antaranya seperti kain rentang, batu karbala, bingkai gambar, kitab dan buku berkaitan ajaran syiah.

“Kamil Zuhairi dan 21 pengikutnya kemudian dibawa ke Pejabat Agama Islam Daerah Gombak bagi siasatan lanjut,” katanya.

Azlinda berkata, tangkapan dilakukan pihak Jais berdasarkan Seksyen 12(C), Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, dimana jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Tindakan yang dilakukan oleh Jais adalah bertepatan dengan fatwa yang diwartakan pada Oktober 2013 oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, bahawa fahaman dan ajaran syiah adalah bercanggah dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Salah satu ajaran syiah adalah mereka menolak Ijmak Ulama, Islam bukan syarat wajib haji dan pelbagai lagi yang boleh mendatangkan bahaya kepada umat Islam di samping menyebabkan perpecahan umah,” katanya.

Katanya, pihak Jais akan terus memantau kegiatan penganut ajaran berkenaan untuk memastikan tiada sebarang aktiviti berkaitan ajaran itu dijalankan di Selangor, terutamanya aktiviti berkaitan sambutan Hari Karbala yang disambut setiap 10 Muharam.

“Pihak Jais juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap penganut ajaran berkenaan, serta memohon kerjasama dari orang ramai untuk memaklumkan sebarang kegiatan jenayah syariah ke pihak penguatkuasa Jais,” katanya. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts