Solat Jamak di surau & masjid bagi mengurangkan perhimpunan AJK surau dan masjid

 

Apabila kes makin meninggi dan SOP makin diperketatkan, sewajarnya pihak jabatan agama memikirkan SOP khusus untuk AJK masjid dan surau yang dibolehkan hadir untuk menunaikan solat fardhu secara berjemaah di surau dan masjid dengan bilangan tertentu.

Bagi SOP khusus untuk AJK yang boleh hadir ke masjid dan surau untuk dirikan solat jemaah, saya ingin mencadangkan agar solat zuhur dijamakkan dengan asar, dan solat maghrib dijamakkan dengan isyak. Jamak sahaja ya, bukan qasar.

Ini kerana beberapa sebab :

1. Hadis yang sahih dalam keharusan jamak di masjid kerana waktu hujan. Tujuan keharusan jamak adalah kerana kesukaran para makmum untuk hadir ke masjid dua kali pada dua waktu. Perlu diingatkan bahawa jamak ini hanya bagi ahli jemaah yang solat di masjid, bagi mendapatkan pahala solat jemaah, bukan bagi sesiapa sahaja yang tidak berkaitan.

Oleh kerana keharusan jamak ini wujud kerana kekangan ke masjid, dan tidak mahu menghilangkan pahala jemaah, maka saya kira sewajarnya bahkan lebih wajar keharusan jamak bagi AJK yang boleh hadir di surau dan masjid, bagi mengurangkan pertemuan mereka di masjid dan surau kerana risiko penularan wabak.

2. Dalam bab kulliyyat (perkara pokok) dalam agama, memelihara nyawa termasuk di dalamnya yang perlu diraikan.

Jadi bagi memenuhi perkara ini, sewajarnya dikurangkan segala risiko yang membawa kepada penularan wabak ini. Termasuk di dalamnya adalah mengharuskan jamak bagi ahli AJK surau dan masjid bagi mengurangkan perhimpunan mereka.

3. Syiar agama sudah pun dapat dicapai dengan melaungkan azan pada waktunya, adapun solat jemaah pada waktunya boleh dijadikan padanya kelonggaran.

Laungan azan tetap boleh dijalankan kerana ia hanya melibatkan muazzin. Adapun solat jemaah yang melibatkan ahli yang ramai, maka solusi solat jamak secara berjemaah adalah jalannya.

Moga cadangan ini mampu memberi ruang kepada AJK masjid dan surau, untuk dijadikan sebagai salah satu pilihan jalan keluar, di antara mendapat pahala berjemaah dan kekal di rumah.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Syamil Esa

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts