Solat Jumaat Negeri Sembilan ikut kapasiti masjid

SEREMBAN: Semua masjid dan surau Jumaat di Negeri Sembilan dibenarkan menunaikan solat Jumaat mengikut kapasiti keluasan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), mulai Jumaat ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata ketetapan itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Katanya, setiap SOP yang ditetapkan oleh MKN perlu dipatuhi sepenuhnya termasuk penjarakan fizikal 1.5 meter antara jemaah dan memakai pelitup muka serta membuat pemeriksaan suhu badan.

“Antara syarat lain ditetapkan ialah ahli jawatankuasa masjid dan surau, petugas keselamatan dan sukarelawan serta jemaah yang hadir perlu melepasi tempoh 14 hari setelah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19.

“Ahli jemaah juga adalah penduduk tetap yang berusia 18 tahun ke atas dan disahkan sihat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Terdahulu, Aminuddin turut menyampaikan bantuan dan surat hapus kira kepada dua waris bekas pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang sebelum ini mendapat pembiayaan pendidikan daripada Yayasan Negeri Sembilan (YNS) selepas pelajar terbabit meninggal dunia akibat kemalangan dan hidapi penyakit.

Beliau yang Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Agama Islam negeri berkata, kerajaan negeri juga membenarkan kelas takmir atau pengajian agama dijalankan seperti biasa di masjid dan surau mulai tarikh yang sama.

Menurutnya, bagaimanapun ia hanya dihadkan bagi tempoh sejam iaitu antara waktu solat Maghrib dan Isya dan sebelum solat Jumaat serta selepas solat Subuh.

Katanya, kebenaran kuliah agama atau pengajian itu bagaimanapun hanya membabitkan guru takmir atau penceramah dari Negeri Sembilan dan bukannya individu luar negeri ini.

“Ahli jawatankuasa masjid dan surau diminta memastikan tingkap dibuka dan kipas digunakan bagi memberi ruang pertukaran udara dalam masjid dan surau.

“Sebarang bentuk penyediaan makanan hanya dibenarkan secara bungkusan dan setiap jemaah perlu segera beredar sebaik makanan diambil.

“Aktiviti menjamu selera atau jamuan makan di kawasan masjid dan surau dilarang sama sekali,” katanya.

Mengenai urusan jenazah, Menteri Besar berkata ia boleh diteruskan dengan kekuatan enam orang untuk mandi manakala solat jenazah dibenarkan mengikut kapasiti kawasan dan sebaiknya ia dilakukan di masjid dan surau serta bukan dibuat di rumah.

“Saya berharap semua pihak dapat mematuhi setiap SOP yang ditetapkan ini sebagai langkah menyekat penularan wabak COVID-19,” katanya yang berharap Negeri Sembilan dapat beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh terdekat. -Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts