Stesen Donald Trump tanda terima kasih Israel

 

TEL AVIV – Sebagai tanda terima kasih kepada Donald Trump kerana mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, rejim Zionis menamakan sebuah stesen kereta api lajunya sempena nama Presiden Amerika Syarikat (AS) itu.

Menteri Pengangkutan rejim Israel, Yisrael Katz berkata, nama ‘Donald Trump’ adalah untuk sebuah stesen bawah tanah berhampiran Temple Mount atau Western Wall di Kota Lama Baitulmuqaddis.

“Saya memutuskan untuk menamakan stesen Western Wall bersempana nama Presiden AS, Donald Trump atas keberanian dan keputusan bersejarah beliau mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel,” katanya.

Projek naik taraf rangkaian kereta api berkelajuan tinggi bawah tanah itu masih di peringkat awal.

6 Disember lalu, Trump juga mengumumkan akan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, kota lama yang turut menempatkan masjid ketiga suci umat Islam, Masjid Al-Aqsa.

Tindakannya mendapat bantahan rakyat Palestin, negara Arab dan umat Islam seluruh dunia, manakala Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengisytiharkan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) turut meluluskan resolusi menolak Baitulmaqdis menjadi ibu negara Israel, tetapi AS menggunakan kuasa veto untuk menolak deraf resolusi itu.

Bagaimanapun, Perhimpunan Agung (tergempar) PBB meluluskan resolusi tidak terikat menolak dan membatalkan langkah Trump itu.

PBB juga mengulangi pendirian mengenai Baitulmaqdis, bahawa tindakan mengubah status atau komposisi demografi Baitulmaqdis adalah batal dan tidak sah dan mesti mematuhi resolusi Majlis Keselamatan.

Sejak 1970, Amerika telah menggunakan kuasa vetonya untuk menolak 42 resolusi Majlis Keselamatan terhadap rejim Zionis Israel. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts