Sultan Selangor seru umat Islam ambil iktibar konflik di Palestin

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru umat Islam mengambil iktibar daripada konflik yang berlaku di Palestin.

Titah Baginda itu seiring intipati khutbah Jumaat semalam mengenai pengajaran kepada umat Islam untuk melihat konflik berkenaan dengan mendalam dan memahami hikmah di sebalik sesuatu kejadian.

“Ibrah dan pengajaran utama atas pencerobohan yang berlaku di bumi Palestin ini adalah betapa perlunya umat Islam bersatu padu, bermuafakat dan saling membantu kerana perpaduan itu membawa kekuatan, kemajuan dan keberkatan kepada umat Islam.

“Antara ibrah pengajaran besar yang dapat dicontohi daripada tragedi yang menimpa rakyat Palestin adalah sikap mereka yang benar-benar bertawakal kepada Allah dan menyerahkan segala urusan negara serta hidup mereka kepada Allah,” tulis Selangor Royal Office di Facebook.

Sultan Sharafuddin bertitah agar rakyat bersyukur atas keamanan yang dikecapi selama ini berbanding rakyat Palestin mengimpikan keamanan selain negara berdaulat.

“Kekuatan rohani rakyat Palestin menunjukkan ketahanan yang luar biasa dalam menghadapi tentangan dan kesulitan serangan musuh yang bertali arus,” titah baginda.

Baginda turut menyeru umat Islam menghulurkan bantuan daripada segi tenaga, idea, wang ringgit serta doa berterusan agar rakyat Palestin mengecapi kemenangan dan kemerdekaan daripada cengkaman Zionis-Israel.

Baginda juga mahu umat Islam menyebarluaskan berita kekejaman Zionis-Israel di media sosial dan menentang dakyah dan berita palsu disebarkan media pro-Israel yang menyembunyikan kebenaran di samping membaca Qunut Nazilah pada setiap solat fardu. – MalaysiaGazette

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts