Syukur diberikan hidayah peluk Islam

Klang: “Dunia sudah akhir zaman, jadi saya bersyukur kerana diberi hidayah oleh Allah sebelum terlambat,” kata saudara baru, Mohd Firdaus Chai.

Mohd Firdaus, 43, adalah individu yang aktif di TikTok malah pernah menarik perhatian netizen selepas berkongsi rutinnya berpuasa antaranya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Ditakdirkan Mohd Firdaus mendapat hidayah memeluk Islam baru-baru ini dan turut berkongsi berita gembira itu dengan pengikutnya yang rata-rata gembira melihat penghijrahannya.

Berkongsi kisahnya, Mohd Firdaus berkata, dia banyak mendalami ilmu agama sebelum mengambil keputusan memeluk Islam.

Menurutnya, menyedari banyak hati perlu dijaga, dia terpaksa merahsiakan penghijrahannya daripada keluarga kecuali adik perempuan yang tahu mengenainya.

“Dahulu saya seorang yang panas baran namun sikap itu beransur hilang selepas saya cuba mendalami ajaran Islam.

“Tiada siapa paksa atau cuba pengaruh saya tetapi hati terbuka sendiri untuk belajar tentang Islam.

“Tidak cukup belajar teori Islam, saya cuba lakukan amali pula dengan berpuasa kerana mahu rasai pengalaman itu dan kesukaran hanya pada awalnya dan lama-kelamaan seronok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Meskipun sudah memeluk Islam, Mohd Firdaus mengakui banyak lagi perlu dipelajarinya dan diperbaiki untuk menjadi Muslim lebih baik.

Oleh kerana itu, dia pernah mengikuti jemaah tabligh selama 44 hari untuk mendalami ilmu agama.

“Itu juga bukan kerana paksaan sesiapa tetapi kehendak saya sendiri.

“Ikutkan banyak lagi perlu saya perbaiki malah baru-baru ini, saya ada masuk ke kedai pakaian menjual jubah dan kopiah tetapi selepas singgah ke situ, hati saya seperti dijentik untuk perbanyakkan lagi amalan.

“Itu bukti peringatan dari Allah datang tidak kira waktu dan saya berusaha jadi Muslim yang baik dengan sempurnakan dahulu solat lima waktu kerana jika tidak sembahyang, sia-sia juga kita lakukan kebaikan lain,” katanya.

Menurutnya, video dimuat naiknya di TikTok bukan untuk menunjuk tetapi sekadar mahu berkongsi apa yang baik dengan pengikut.

“Bagi saya, apa jua yang positif mengenai Islam perlu dikongsi bagi mengajak kita sesama Muslim berbuat kebaikan, juga beri contoh kepada bukan Muslim.

“Siapa tahu hati mereka (bukan Muslim) akan terbuka untuk mendekati atau sekurang-kurangnya memahami kewajipan mengikut ajaran Islam.

“Sebagai mualaf, saya tidak berasa sukar melakukan suruhan-Nya, antara mahu atau tidak sahaja cuma sebagai manusia kita tidak terlepas daripada sikap alpa,” katanya.

Mohd Firdaus berkata, perjalanannya masih jauh namun berharap impiannya mengerjakan umrah di Tanah Suci pada tahun depan terlaksana.

“Itu perancangan saya dan diharap menjadi kenyataan. Selain itu, saya juga akan berusaha untuk pujuk ibu supaya menerima penghijrahan saya.

“Sebelum ini, saya cuba bergurau dengan ibu mengatakan mahu berkahwin wanita Melayu dan nampaknya dia (ibu) tiada halangan, jadi itu seolah beri petanda yang ibu restu pilihan saya (peluk Islam),” katanya yang kini mengikuti kelas Iqra dan turut berkongsi ilmu dengan rakan mualaf lain secara dalam talian. -My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts