Tabung Haji institusi Islam terbaik

 

SETIAP tahun, dividen dan bonus menerusi simpanan di beberapa institusi kewangan antara dinanti pendeposit.

Walaupun jumlah mengikut kepada kadar semasa kadang-kadang memberikan khabar gembira dan sebaliknya, ia tetap dinanti-nantikan.

Di Malaysia, terdapat banyak institusi kewangan memberikan pulangan dividen dan bonus setiap tahun buat pendepositnya.

Antaranya, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Haji (TH).

Walaupun mempunyai visi dan misi berbeza, PNB lebih fokus kepada meningkatkan kekayaan ekonomi komuniti Bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia demi kemakmuran negara.

Manakala KWAP bukan saja memberi tumpuan terhadap pulangan pelaburan, tetapi juga mengutamakan kesejahteraan pesara dan tumpuan terhadap majikan mencarum.

KWSP pula diwujudkan bagi membantu tenaga kerja Malaysia menabung untuk persaraan dan melindungi simpanan ahli dengan visi dan misi membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik selain melindungi simpanan ahli dan memberi perkhidmatan cemerlang.

Namun, berbeza dengan TH, walaupun ia juga memberikan pulangan kepada pendepositnya, namun ia mempunyai peranan dan keunikan tersendiri.

TH adalah badan berkanun ditubuhkan kerajaan untuk menyediakan kemudahan bagi umat Islam di negara ini menyimpan wang untuk mengerjakan ibadah haji.

Ia adalah institusi Islam yang sentiasa berusaha menyediakan pelbagai kemudahan secara komprehensif dan sistematik demi kebajikan jemaah haji Malaysia.

Selain pengurusan simpanan yang halal dan pengurusan haji efisien, TH turut menjalankan aktiviti pelaburan bagi memberi nilai tambah kepada pendepositnya.

Sebelum penubuhan TH, tiada institusi kewangan Islam yang dapat memberi perkhidmatan kepada umat Islam di Malaysia untuk menyimpan wang bagi menanggung kos perbelanjaan menunaikan haji.

Walaupun ketika itu sudah wujud beberapa bank, umat Islam di negara ini enggan menabung dengan perbankan konvensional untuk tujuan mengerjakan ibadat haji kerana mereka mahu memastikan tabungan mereka bebas dari sebarang unsur dan amalan riba agar haji yang diperoleh adalah haji mabrur.

Dengan penubuhan TH, urusan ibadat haji umat Islam negara ini menjadi lebih mudah dan teratur.

Malah, bagi mereka yang pertama kali ke Tanah Suci pun tidak perlu bimbang kerana TH mengurus semua keperluan mereka termasuk urusan berkaitan pasport, visa haji, pengangkutan, penginapan di Makkah, Madinah, Mina dan Arafah serta penjagaan kesihatan dan bimbingan ibadat haji.

Kini, TH mempunyai lebih 50 tahun pengalaman dalam perkhidmatan simpanan, haji dan pelaburan.

Sebagai institusi haji terunggul negara, TH berusaha untuk mengukuhkan ekonomi umat Islam Malaysia dengan memanfaatkan dana dan sumber sedia ada selain komited memberi perkhidmatan cemerlang dan memuaskan kepada semua jemaah haji Malaysia.

 

 

Pencapaian TH yang konsisten juga melayakkannya mendapat pengiktirafan dunia sebagai model pengurusan haji inovatif.

TH juga mempunyai lebih daripada 9 juta pendeposit dan 125 cawangan dengan lebih 10,000 ‘touch-points’ di seluruh negara dan mempunyai pejabat yang beroperasi di Jeddah, Arab Saudi di bawah Konsulat Malaysia.

Selain itu, TH turut menawarkan pelbagai perkhidmatan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengambil pendekatan berdasarkan konsep menambah baik dan melestarikan kehidupan.

TH juga beriltizam menyumbang ke arah kelestarian pembangunan pihak berkepentingan khususnya anggota, jemaah haji Malaysia, pendeposit dan komuniti Islam dari golongan asnaf miskin, kelainan upaya dan memerlukan, tanpa mengenepikan aspek integriti, etika kerja, komuniti, sosial, ekonomi dan alam sekitar.
Sehingga kini, program khidmat komuniti (CSR) TH sudah memberi manfaat kepada ribuan pihak berkepentingan di seluruh negara, sejajar dengan aspirasi berkongsi kejayaan dengan semua.

Program CSR TH terbahagi kepada dua kategori iaitu CSR Zakat dan Sumbangan.

Menerusi CSR Zakat, TH membuat pembayaran zakat ke pusat zakat negeri pada suku tahunan pertama setiap tahun.

Selain itu, TH turut membuat pembayaran zakat secara terus kepada asnaf yang layak di seluruh negara melalui pelaksanaan program CSR seperti Ehsan, Iqra, Mobiliti dan Ikhtiar.

Bagi CSR Sumbangan pula, setiap tahun, TH memperuntukkan sejumlah besar sumbangan untuk pelaksanaan inisiatif CSR bukan zakat dalam usaha berkongsi kejayaan yang diperoleh hasil sokongan dan kepercayaan pendeposit serta pihak berkepentingan.

Sumbangan disalurkan untuk pelbagai keperluan seperti pendidikan, kesihatan, sukan dan banyak lagi termasuk juga subsidi haji, Dana Tabung Warga Tua (Dana TWT), Kelab TaHa, Kelab TaHa@U dan Sahabat Korporat.

Menerusi subsidi Haji, ia adalah pelaburan CSR yang terbesar dan terpenting dengan peruntukan subsidi haji bagi Jemaah Haji Muassasah pertama kali pada setiap tahun.

Untuk Dana Tabung Warga Tua (Dana TWT) pula, ia bertujuan membiayai sebahagian daripada jumlah bayaran haji bagi jemaah warga emas yang memenuhi semua syarat-syarat permohonan dan terpilih untuk menunaikan haji tetapi mengalami masalah kewangan untuk membuat bayaran haji mereka.

Kelab TaHa pula adalah kelab bagi menarik minat pelajar berusia di antara 7 hingga 17 tahun agar mula menabung di usia muda
di samping memberikan mereka asas kukuh
ke arah perancangan kewangan yang lebih mantap di masa hadapan dan membuka peluang untuk mereka menunaikan haji
pada usia muda.

TaHa@U adalah satu inisiatif bagi mendorong dan menggalakkan mahasiswa di institusi pengajian tinggi tempatan untuk menunaikan haji pada usia muda.

Usaha dijalankan TH ternyata meletakkannya sebagai sebuah institusi yang bukan berasas keuntungan semata-mata malah menjadi paltform terbaik kepada umat Islam di negara ini mengerjakan ibadah haji.

Pada masa sama, perkhidmatan yang disediakan juga turut mendapat pandangan positif daripada pendeposit. -My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts