Tenang, lega, selepas ucap kalimah syahadah

KUALA TERENGGANU: Sukar untuk menjelaskan perasaan sebenar, seorang mualaf, mengakui berasa tenang dan lega selepas mengucapkan dua kalimah syahadah.

Lee Liang Yeou yang mengekalkan nama asal selepas memeluk Islam berkata, perkongsian mengenai Islam oleh rakan menyebabkan dia terdetik untuk memeluk agama suci itu sebelum memaklumkan hasratnya menukar agama, kepada keluarga.

Katanya, ramai dalam kalangan rakannya adalah orang Islam dan ada juga rakan mualaf yang sentiasa berkongsi ilmu mengenai Islam.

“Sebelum menyuarakan hasrat untuk memeluk Islam, saya berbincang dahulu dengan keluarga kerana bab menukar agama ini sesuatu perkara yang sensitif bagi orang bukan Islam.

“Keluarga meminta saya berfikir semasak-masaknya sebelum membuat keputusan kerana tidak mahu saya menyesal.

“Saya memang sudah lama tertarik dengan Islam, jadi saya tidak mengambil masa lama selepas menyatakan hasrat itu kepada keluarga sebelum melafaz kalimah syahadah pada 2020,” katanya ketika ditemui selepas majlis makan besar di rumahnya di Kuala Ibai, di sini, hari ini.

Liang Yeou yang kini mendalami ilmu agama dengan seorang ustaz yang juga Imam Masjid Buluh Gading, di sini, berkata dia tidak menafikan perasaan kecewa dan sedih keluarganya terutama ibu, Toh Siew Hian, 60, dan bapa, Lee Kok Khan, 64.

Katanya, setiap hari dia menjelaskan kepada ibu serta bapanya mengenai Islam dan memujuk mereka tanpa jemu.

“Alhamdulillah, mereka faham dan boleh menerima dengan hati yang terbuka. Keluarga saya terutama ibu dan bapa juga banyak bergaul dan ramai kenalan dalam kalangan orang Melayu,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai jurujual dengan sebuah syarikat pengedar makanan kucing berkata, selepas memeluk Islam pada Jun 2020, sebulan kemudian dia mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan dan gembira apabila perkahwinan mereka direstui keluarga.

Katanya, isteri, Nur Akmal Rosli, 26, dan keluarga mentua banyak memberi tunjuk ajar mengenai Islam.

Liang Yeou berkata, dia mengambil keputusan mengekalkan nama asal kerana mahu mengubah fikiran orang bukan Islam yang beranggapan mereka yang memeluk Islam wajib menukar kepada nama Islam.

“Sebab ramai dalam kalangan masyarakat Cina salah faham jika memeluk Islam wajib tukar nama asal mereka, sebenarnya ia tidak perlu.

“Namun, sekiranya nama asal mereka bermaksud yang tidak elok ia wajib ditukar. Seperti nama saya bermaksud bangga, jadi saya rasa tidak perlu tukar kerana ia maksud yang baik,” katanya yang memiliki seorang anak lelaki, Muhammad Yusuf Lee berusia setahun.

Sementara itu, Nur Akmal berkata, dia tidak menafikan perasaan kekok dan gementar untuk bersama keluarga mentua ketika awal perkahwinan.

“Saya tidak pernah terfikir untuk hidup dalam masyarakat Cina tetapi jodoh pertemuan itu ketentuan Allah.

“Kini saya rasa selesa dan pada masa sama bertuah apabila dapat menjalani kehidupan dalam dua keluarga berbeza agama yang bukan semua orang dapat memilikinya,” katanya yang mengakui berdebar ketika kali pertama meraikan majlis makan besar bersama keluarga sempena menyambut Tahun Baharu Cina 2021. -Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts