Terengganu perkenal dasar perumahan baharu patuh syariah

 

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu memperkenalkan Dasar Perumahan Baharu yang lebih selesa dan mesra pelabur.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata dasar itu terbahagi kepada dua komponen iaitu pembangunan perumahan bercampur-campur melalui penswastaan dan pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) jenis A.

Beliau berkata antara objektif utama pengenalan dasar itu ialah bagi menarik lebih banyak penyertaan pihak swasta dalam projek pembinaan perumahan RMM di seluruh negeri melalui lapan insentif yang disediakan kerajaan untuk pemaju.

“Kita dapati dasar penswastaan lama diperkenalkan pada 2017 tidak membolehkan pihak pemaju (swasta) bergiat secara aktif dalam pembinaan RMM sekali gus membantutkan hasrat kerajaan untuk menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik kepada rakyat.

“Malah melalui dasar perumahan sebelum ini juga tidak ada satu pun pemaju berminat membina RMM di Terengganu kerana beberapa peraturan membebankan seperti kadar sumbangan 10 hingga 20 peratus nilai pembangunan kasar (GDV) rumah kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Dasar Perumahan Baharu Negeri Terengganu di sini, Rabu lalu.

Beliau berharap pengenalan dasar baharu itu akan merancakkan lagi industri perumahan khususnya pembinaan RMM kerana masih terdapat 151,000 pemohon yang menunggu untuk mendapatkan rumah.

 

 

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata melalui dasar baharu itu pihaknya menyasarkan pembinaan 20,000 RMM di seluruh negeri dalam tempoh empat tahun dengan pelaksanaan projek perintis membabitkan 385 unit di Kampung Bukit Cina, Pasir Akar, Besut.

Menurut nya dasar itu juga akan mewujudkan identiti baharu bagi RMM jenis A yang telah ditambah baik daripada beberapa aspek dari sudut reka bentuk dan tambahan garaj bagi mewujudkan keseragaman serta kemudahan kepada penghuni.

“Reka bentuk baharu ini lebih patuh syariah atau bercirikan Islamik kerana tiga bilik tidur dan ruang makan akan dibina di ruang berasingan daripada ruang keluarga. Oleh itu kedatangan tetamu tidak akan mengganggu aktiviti tuan rumah.

“Bahagian tandas dengan bilik mandi akan dipasang penghadang bagi menjaga kebersihan ketika berwuduk sementara rumah juga akan ditambah dengan garaj kereta sebagai satu lagi proses penambahbaikan rumah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata akan berlaku sedikit peningkatan harga jualan bagi RMM jenis A daripada RM68,000 kepada RM80,000 seunit berikutan kenaikan kos buruh dan harga bahan binaan. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts