‘Tiada dendam, saya doakan dia berjaya’

 

SEREMBAN: “Saya maafkan anak murid itu dan keluarganya. Saya doakan dia berjaya pada masa depan dan menjadi anak yang baik,”.

Cikgu Azizan atau Azizan Manap, 44, tenang mengungkap kata-kata itu sejurus dilepas tanpa dibebas di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan muridnya, April lalu.

Beliau yang berkemeja biru dan kelihatan sebak ketika ditemui pemberita, berkata kes itu tidak menjejaskan semangatnya untuk terus mendidik anak bangsa.

“Saya tidak berdendam dengan sesiapa dan menganggap semua anak murid sebagai anak saya sendiri.

“Saya akan terus mengajar seperti biasa. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan selama ini,” katanya di perkarangan Kompleks Mahkamah di sini, hari ini.

Lebih 300 orang yang menyokong Cikgu Azizan termasuk guru dan penduduk sekitar Taman Semarak, Nilai, hadir sejak jam 8 pagi.

Yang turut hadir, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd Razak dan Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Semarak, Md Fakarudin Ab Rahman.

Terdahulu, Majistret Mohd Zaki Abd Rahman, membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad, memaklumkan pihak pendakwaan menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Taman Semarak, Nilai itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada pipi kiri seorang murid lelaki berusia 11 tahun, di hadapan tapak perhimpunan sekolahnya pada jam 7 pagi, 6 April lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia dituduh di Mahkamah Majistret di sini, Oktober lalu, dan hari ini sepatutnya menjadi hari pertama proses perbicaraan. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts