Tiada halangan papan tanda guna tulisan jawi di Perak

IPOH: Kerajaan negeri Perak tidak pernah menghalang mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini memasang papan tanda nama jalan dan premis perniagaan dalam tulisan Jawi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata pelaksanaan tulisan Jawi itu telah pun dilakukan di dua PBT iaitu Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) serta Majlis Daerah Batu Gajah.

“Saya difahamkan oleh Yang Dipertua kedua-dua PBT perkara itu telah dibawa dalam mesyuarat penuh dan dipersetujui oleh wakil daripada Ahli Majlis. (Sesi) Libat urus juga telah dibuat dengan peniaga bukan Melayu untuk melakukan perkara tersebut.

“Kerajaan negeri tidak mempunyai halangan jika PBT telah mendapat sokongan daripada penduduk, setakat ini saya tidak mendapat apa-apa aduan berkenaan bantahan tentang perkara itu (tulisan Jawi),” katanya.

Nolee Ashilin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jerayawara Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) dan Hari Seniman Negara Peringkat Negeri Perak yang turut dihadiri Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Munawati Yaacob di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak.

Sebelum ini, media melaporkan MPKK mengorak langkah bagi pembudayaan tulisan Jawi untuk menghiasi kawasan sekitar daerah tersebut.

Yang Dipertuanya Zulqarnain Mohamad berkata pihaknya menerima banyak maklum balas positif daripada pengendali premis komersial di daerah berkenaan berhubung langkah yang diambil agensi itu bagi memenuhi hasrat tersebut. – AlHijrah Online

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts