Tiada program hiburan ketika ambang tahun baharu di Perlis

Kangar: Perlis bersetuju untuk tidak akan mengadakan sebarang program hiburan termasuk nyanyian dan tarian ketika sambutan ambang tahun baharu di negeri ini.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, tindakan itu menunjukkan keseriusan kerajaan negeri Perlis untuk terus bersolidariti terhadap rakyat Palestin.

Katanya, pihaknya mengharapkan sokongan rakyat negara ini khususnya di Perlis tidak berhenti setakat ini sahaja.

“Ketika mana kita masih menganjurkan pelbagai program hiburan yang terus melalaikan, saudara kita masih ditembak mati dan syahid di sana.

“Setelah melihat semua keadaan yang menyedihkan ini berlaku dan Malaysia pula turut mula memandang sepi terhadap isu Palestin ini.

“Jadi, saya mencadangkan tiada sebarang program hiburan berbentuk nyanyian dan tarian melalaikan sewaktu ambang tahun baharu ini di negeri Perlis,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan usul rakyat Perlis-Untukmu Palestin semasa semasa Mesyuarat Keempat, Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis ke-15 di Kompleks Dun Perlis, di sini hari ini.

Usul berkenaan kemudian disokong oleh Adun Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil dan dibahaskan oleh Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Indera Kayangan, Gan Ay Ling mewakili blok kerajaan dan pembangkang.

Kesemua Adun bersetuju dengan usul yang dibawakan oleh Menteri Besar itu.

Mohd Shukri berkata, sehingga kini, kekejaman rejim Zionis masih berlanjutan di Semenanjung Gaza sehingga menyebabkan pembunuhan besar-besaran tanpa belas dan ihsan terutama kepada golongan yang tidak berupaya, wanita, warga emas serta kanak-kanak turut menjadi mangsa.

“Yang Berhormat Tuan Speaker, Dewan yang mulia pada hari ini juga dimohon untuk turut menolak idea penyelesaian dua negara (two state solution) yang tidak mampu menyelesaikan masalah yang berlanjutan ini.

“Malah kita langsung tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara yang sah,” katanya.

Beliau berkata, kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin layak dilabel sebagai sebuah rejim yang melakukan penjenayahan dunia dan sepatutnya Israel keluar dari bumi Palestin. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts