Wilayah Daraa di selatan Syria sekali lagi menjadi saksi kepada kengerian masa lalu apabila kumpulan anti-rejim Bashar Al-Assad mendakwa telah menemui lebih 12 kubur besar yang dipercayai menempatkan mangsa penindasan kerajaan terdahulu.
Menurut laporan agensi berita Anadolu, kerja-kerja penggalian giat dijalankan untuk mencari mangsa yang dilaporkan hilang serta memberikan jawapan kepada keluarga yang masih menanti kepulangan orang tersayang.
31 Mayat Ditemui, Jumlah Dijangka Bertambah
“Setakat ini, sebanyak 31 mayat telah ditemui, dan jumlah ini mungkin akan terus meningkat dengan bantuan penduduk tempatan yang turut serta dalam kerja penggalian,” menurut sumber tempatan yang terlibat dalam operasi tersebut.
Penemuan ini menambahkan lagi senarai panjang tragedi kemanusiaan di Syria. Sebelum ini, sebuah kubur besar juga ditemui di Jambatan Baghdad, di luar Damsyik, yang dipercayai menyimpan mayat mangsa penyeksaan semasa pemerintahan rejim Assad.
Mayat Mangsa Penyeksaan Penjara Sednaya
Menurut laporan, sebahagian besar mayat yang ditemui dipercayai merupakan tahanan yang meninggal dunia semasa berada di Penjara Sednaya, Damsyik — sebuah penjara yang terkenal dengan layanan kejam terhadap tahanan politik.
Lebih menyayat hati, mayat-mayat tersebut ditemui dikebumikan secara bertindan-tindan dengan setiap guni dilabelkan menggunakan kod penjara dan nama tahanan masing-masing, mencerminkan kekejaman sistematik yang berlaku.
Proses penggalian yang sedang berlangsung menyaksikan serpihan tubuh manusia dalam karung-karung buruk dikeluarkan satu persatu dari kawasan perkuburan tersebut, menghidupkan semula memori gelap rakyat Syria yang terpaksa hidup dalam ketakutan selama bertahun-tahun.
Dunia Perlu Bertindak
Penemuan ini menjadi satu lagi bukti kekejaman yang tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat antarabangsa. Usaha mencari keadilan untuk mangsa dan keluarga mereka harus dipercepatkan melalui penyiasatan bebas dan sokongan daripada organisasi kemanusiaan global.
Tragedi ini adalah peringatan bahawa krisis kemanusiaan di Syria belum berakhir, dan dunia tidak boleh terus berdiam diri.
Sumber : TvPertiwi