Tugas guru mewarisi perjuangan nabi, rasul

Cikgu-Zamri-Iguru

 

BANGI, Isnin – Guru di seluruh pelosok negara dan dunia adalah insan hebat kerana terpilih menjalankan tugas besar nabi dan rasul.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Cikgu Zamri Ibrahim berkata, tugas guru meliputi menyampai ilmu, penunjuk jalan hikmah dan pembimbing daripada jalan kesesatan.

“Guru memikul tanggungjawab untuk membebaskan insan daripada kesesatan ideologi ciptaan manusia yang menuju ke arah kemajuan dunia akhirat berlandaskan neraca Allah SWT.

“Kepada seluruh ahli i-Guru dan semua guru Muslim amnya, moga terus berusaha meningkatkan kesabaran bagi menjalankan agenda besar menegakkan kalam suci Ilahi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Tidak hanya meletakkan tanggungjawab mendidik kepada guru dan pihak pentadbir, Cikgu Zamri turut mahukan ibu bapa bekerjasama mempersiapkan diri dan anak-anak untuk mendapat didikan yang holistik merangkumi pendidikan intelektual, rohani, emosi dan jasmani.

“Tanpa persediaan yang sempurna dan menyeluruh tidak mungkin akan menghasilkan generasi masa hadapan yang soleh dan musleh apatah lagi yang mampu mempunyai semangat juang yang kental berlandaskan kefahaman, kemahiran dan matlamat jauh melangkaui ufuk kemenangan dan kecemerlangan dunia dan akhirat.

“Sesungguhnya cabaran baru dunia dan lain-lain serangan ganas seperti ideologi liberal, pluralisme, LGBT dan lain-lain hanya mampu diharungi dan dihadapi oleh mereka yang benar-benar bersedia dengan kekuatan aqidah, penguasaan ilmu yang luas dan terkini di samping kemahiran dan akhlak yang benar-benar kukuh dan mantap,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan pelajar masa kini agar tidak menjadi warganegara sebuah negara bangsa yang hanya semata-semata menjadi jentera pembangunan dan warganegara setia tanpa agenda.

Ini kerana, katanya, remaja Melayu menjadi rebutan pihak yang ingin mempergunakan mereka untuk kepentingan diri semata-mata.

“Kepada pelajar, kami amat mengharapkan anak didik yang dikasihi sekalian dapat memahami sebenar-benarnya akan cabaran yang bakal dihadapi, bukan hanya fokus kepada persaingan mendapatkan kehidupan yang mewah dan bahagia di dunia ini.

“Perkara yang lebih mencabar ialah untuk menyelamatkan diri daripada serangan tidak berperikemanusiaan pelbagai agenda dan budaya hidup yang boleh merosakkan kita secara fizikal.

“Justeru, gunakanlah kesempatan dan peluang yang ada untuk berjuang mendapatkan ilmu dari segala sumber yang begitu banyak pada hari ini, merapati para pendidik, guru murabbi di sekolah-sekolah agar mereka dapat menunjukkan jalan kebenaran dan kejayaan,” katanya.

Sumber: http://www.ismaweb.net/2016/05/tugas-guru-mewarisi-perjuangan-nabi-rasul/

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts