Tukar agama kanak-kanak: UMMAH akan buat semakan kehakiman

 

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) akan melakukan semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung penukaran agama tiga kanak-kanak kepada Islam yang terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang, baru-baru ini.

Ketua Sekretariat UMMAH, Aminuddin Yahaya berkata, pihak bertanggungjawab digesa menyemak semula pengurusan pentadbiran agama negeri-negeri supaya selaras dan melindungi hak golongan mualaf.

Beliau berkata, langkah itu dibuat berdasarkan faktor utama yang dilihat dalam huraian Mahkamah Persekutuan, seolah-olah memberi kuasa eksklusif kepada mahkamah sivil untuk campur tangan dalam perkara melibatkan Mahkamah Syariah.

“Ia bermakna Mahkamah Syariah selama-lamanya tunduk kepada mahkamah sivil. Ini satu perkara yang perlu dilihat semula, malah dengan Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“UMMAH juga bersetuju meminta Majlis Raja-Raja mengeluarkan titah berhubung isu itu, supaya ia dapat meredakan ketegangan dan kegusaran dalam kalangan umat Islam.

“Raja penaung agama dan negara. Jadi kita rasa titah Raja-Raja akan dapat meredakan sedikit ketegangan yang berlaku susulan isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi Sidang Meja Bulat UMMAH: Kesan Kes Indira Gandhi Ke Atas Perundangan di sini, hari ini.

Sidang meja bulat itu turut dihadiri bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim , Mufti Pahang, Datuk Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman serta 200 peserta daripada kalangan pakar perundangan, perlembagaan, mufti dan NGO.

“Sidang meja bulat ini adalah untuk melihat noktah-noktah yang kita rasa tidak berapa selesa dengan perundangan atau keputusan yang dibuat baru-baru ini.

“Perbincangan hari ini terlalu banyak yang kita rasa sangat baik, sehingga belum sempat membuat rumusan secara tuntas.

“Bagaimanapun, kita akan drafkan satu resolusi lengkap perbincangan yang akan dibuat dalam masa sehari dua lagi,” kata Aminuddin.

Isu status agama anak-anak Muhammad Ridhuan Abdullah dan M Indira Gandhi hangat diperbahaskan kebelakangan ini, selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan untuk membatalkan penukaran agama tiga anak mereka kepada Islam.

Menerusi 99 muka surat penghakiman, mahkamah memutuskan persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu untuk penukaran agama anak sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.

Berbeza dengan kes Subashini a/p Rajasingam melawanSaravanan a/l Thangathoray pada 2007, Mahkamah Persekutuan terdahulu memberikan hak sama rata kepada semua .

Mahkamah ketika itu memberikan hak kepada Mualaf yang baru memeluk Islam untuk menentukan agama anaknya, dan juga hak pasangannya yang bukan Islam untuk membantah – serta tak dilupakan kepentingan kanak-kanak itu sendiri, yang kesemuanya akan diambil kira. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts