Tun Dr Mahathir gesa umat Islam bersatu, ketepikan perbezaan politik

 

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menggesa bangsa Melayu dan Islam di negara ini untuk bersatu padu bagi mengelakkan perpecahan walaupun mempunyai berbeza fahaman politik.

Beliau berkata, agama Islam di negara ini masih terpelihara namun perpecahan yang berlaku adalah disebabkan politik.

Justeru, katanya, ia tidak sepatutnya berlaku kerana umat Islam di negara ini berpegang kepada Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah pimpinan Imam Syafie.

“Sepatutnya kita tidak berpecah kerana amalan kita sama. Saya berdoa dan minta supaya politik tidak memecah belahkan orang Melayu yang semuanya Islam dan bersaudara.

“Justeru, saya berharap kita dapat cantum balik umat Islam di Malaysia supaya tak berpecah belah kerana fahaman politik,” katanya ketika berucap Majlis Iftar Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), di Hotel Everly di sini, semalam.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Beliau juga melahirkan rasa syukur dan gembira dengan kemenangan yang dikecapi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu sehingga berlaku peralihan kuasa secara baik tanpa keganasan.

Katanya, keamanan yang dikecapi itu tidak dinikmati di semua negara kerana apabila pilihan raya berjalan dan pemerintah dikalahkan parti lawan, akan berlaku keganasan dan ramai terbunuh.

“Saya percaya amalan berpegang kepada ajaran Islam dan Hadis dapat mengatasi permusuhan dalam kalangan umat Islam yang berlainan fahaman politik.

“Alhamdulillah di Malaysia ini diadakan pilihan raya dan tidak ada berlaku keganasan, pembunuhan dan sebagainya jadi ini sesuatu yang kita berterima kasih serta bersyukur kerana keamanan di negara kita.

“Ini sesuatu yang kita harus ingat selain perlu bersyukur, pilihan raya boleh berjalan dengan aman dan baik bahkan pertukaran kerajaan juga tidak menyebabkan huru-hara,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts