Malaysia tawar biasiswa kepada pelajar Palestin

 

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menawarkan biasiswa kepada pelajar Palestin bagi menyambung pengajian di 12 universiti terkemuka di Malaysia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, biasiswa berkenaan ditawarkan kepada pelajar terpilih melalui Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM).

“Biasiswa ini membolehkan pelajar Palestin melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda, ijazah, ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah di 12 universiti di Malaysia.

“Kepada pelajar Palestin yang dipilih, saya ucapkan tahniah dan selamat maju jaya,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama komuniti Palestin anjuran PCOM di sini, semalam.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Pengerusi Hamas, Khalid Mashal dan Pengerusi PCOM, Muslim Imran.

Tajaan biasiswa bernilai RM11.4 juta itu membabitkan AlBukhary International University, Management and Science University (MSU), Universiti Mahsa, Kolej Universiti Islam Perlis dan City University.

Selain itu, ia turut membabitkan Universiti Multimedia (MMU), Universiti UCSI, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Sunway, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dr Mahathir berkata beliau juga gembira dengan peranan dimainkan PCOM yang komited dalam menyokong pembebasan Palestin termasuk membina persefahaman budaya antara Malaysia dan Palestin.

“Hari ini, PCOM memainkan peranan penting dalam membina persefahaman budaya antara Palestin dan Malaysia, meningkatkan kesedaran mengenai isu Palestin dan menggerakkan sokongan politik terhadap hak Palestin,” katanya.

 

 

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri mengulangi pendirian Malaysia untuk berdiri teguh bagi menyatakan sokongan kepada Palestin dan Malaysia akan terus mengutuk tindakan zalim Israel terhadap rakyat Palestin.

Beliau berkata, Israel berterusan melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia yang mana penempatan haram Israel dibina setiap hari dan rakyat Palestin dinafikan hak mereka daripada memasuki tanah mereka sendiri.

“Bagi mencapai kedamaian, masyarakat antarabangsa perlu mencari penyelesaian untuk penempatan semula rakyat Palestin di tanah mereka yang dirampas secara tidak sah oleh Israel.

“Ini sekali gus mampu menamatkan tindakan pembunuhan besar-besaran tentera Israel dan pendudukan Israel di tanah Palestin.

“Selagi isu ini berlanjutan dan rakyat Palestin tidak diberi keadilan, konflik di Asia Barat akan berterusan, menjadi tempat melahirkan pengganas dan militan yang kemudian menular di seluruh pelusuk dunia,” katanya.

Beliau berkata, hampir keseluruhan rakyat Malaysia sudah terbiasa dengan penderitaan dialami rakyat Palestin.

“Kita gunakan pentas antarabangsa bagi menyatakan suara dan pendirian terhadap kekejaman ini selain membantah tindakan dilakukan Israel.

“Malaysia juga banyak menyertai misi bantuan antarabangsa menerusi laluan laut dan darat ke Gaza, menjadikan tindakan ini sebagai peringatan kepada komuniti antarabangsa mengenai penderitaan rakyat Palestin,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts