TYT Sabah seru umat Islam perkasakan diri dengan pengetahuan

Kota Kinabalu: Umat Islam di Sabah diseru untuk memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan perubahan sikap yang merupakan antara penzahiran akhlak yang baik.

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata, ia menjurus ke arah meningkatkan kekuatan dan potensi umat Islam dalam memenuhi tuntutan mengukuhkan hubungan dengan Allah dan mengukuhkan hubungan sesama manusia secara harmoni.

“Apabila ini dapat dilakukan, ia akan membolehkan umat Islam mewujudkan suasana yang ideal bagi menjana keamanan, kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan yang holistik.

“Akhlakul karimah (sikap mulia dan terpuji) juga memotivasi kita supaya lebih responsif dan proaktif khususnya dalam menyantuni rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang belum reda dan menangani keadaan ekonomi yang belum pulih.

“Kebajikan rakyat perlu sentiasa diberikan perhatian berat dan ekonomi perlu dipastikan terus berdaya saing bagi menghindari beban sosio-ekonomi yang lebih getir membelenggu umat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1443H/2021M, bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor, Menteri Tugas-Tugas Khas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif dan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah Datuk Kadzim M Yahya.

Dalam pada itu, Tun Juhar turut berkata, rakyat Sabah juga digesa agar berusaha menghayati dan menyerap semangat pengorbanan Rasulullah SAW dalam melakukan pengorbanan demi kebaikan semua.

“Usah terlalu berkira setiap sumbangan yang diberikan. Ingatlah bahawa segala kejayaan bermula daripada pengorbanan.

“Pengorbanan itu pula wajar datang daripada hati yang ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Pengorbanan yang tulus ikhlas, Insya-Allah akan menatijahkan kemakmuran hidup rakyat dan negeri.

“Justeru saya juga turut menyeru kepada sekalian rakyat, agar terus mempertahankan perpaduan sesama kita.

“Kita hidup dalam sebuah keluarga yang besar. Justeru saya berkeyakinan rakyat negeri ini adalah model terbaik dalam melestarikan semangat perpaduan sejati merentasi ideologi politik, budaya mahupun kepercayaan,” katanya.

Tun Juhar turut berkata, kerajaan negeri harus memastikan pelaksanaan pembangunan kerajaan sama ada di bawah bajet negeri mahupun di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dikendalikan dengan baik.

“Sistem penyampaian yang cekap, proaktif dan kreatif berupaya menimbulkan rasa percaya dalam kalangan rakyat bahawa kita boleh berhadapan dalam tempoh sukar ini dengan semangat kesatuan dan cita bangsa yang luhur,” katanya.- My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts