Ulama, umara bekerjasama bangunkan ummah: Sultan Nazrin

 

IPOH: Ulama dan umara atau pemimpin tidak sepatutnya disalah tafsir sebagai dua golongan yang terpisah dengan tanggungjawab berbeza, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, Islam tidak memisahkan kuasa agama dengan kepemimpinan duniawi, atau kuasa pemimpin daripada agama, malah memperjelas kepentingan ulama dan umara saling membantu serta bekerjasama melaksanakan tanggungjawab terhadap ummah.

“Ulama dan umara tidak harus disalah tafsir dengan tanggapan salah bahawa satu bertanggungjawab kepada urusan agama, sementara yang satu lagi bertanggungjawab kepada urusan negara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertema ‘Kepimpinan dan Kekhalifan, Gagasan Konstruktif Ulama dan Umara’ di Pusat Konvensyen Amanjaya di sini, semalam.

Yang turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, dan Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli, anggota EXCO kerajaan negeri serta Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, juga hadir.

Sultan Nazrin bertitah, ulama adalah pemimpin tidak formal, berakar dalam masyarakat dan menjadi tauladan kerana keluasan ilmu, keperibadian serta keikhlasan.

Titah baginda, umara pula dilihat sebagai kepemimpinan dalam pemerintahan yang diamanahkan dengan tanggungjawab secara formal dan berstruktur, memiliki bidang kuasa tertentu berlandaskan undang-undang bagi mengurus serta memimpin masyarakat.

Baginda bertitah, ulama mempunyai tugas utama melakukan ‘tafaqquh fid diin’, iaitu memberi pemahaman mengenai agama dan peringatan kepada masyarakat, serta membimbing umat dengan petunjuk ketuhanan.

Sultan Nazrin bertitah, sejarah mencatatkan bahawa kalangan pemimpin Islam yang memiliki nama besar, tidak terpisah daripada bimbingan ulama.

Antaranya, titah baginda, Khalifah Harun al-Rasyid bersama Yahya ibn Khalid Al-Barmak, Salahuddin Al Ayyubi bersama Bahauddin Shaddad, serta Sultan Muhammad Al Fatih dengan bimbingan Aq Samsuddin dan Syeikh al-Kurani. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts