UPSI universiti awam pertama tawar program tahfiz al-Quran dan Qiraat

 

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini menjadi universiti awam pertama di negara ini menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Tahfiz al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan untuk pelajar dalam dan luar negara mulai ambilan September depan.

Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, Dr Ibrahim Hashim, berkata program berkenaan diwujudkan bertujuan untuk melahirkan guru terlatih dalam bidang tahfiz untuk memenuhi permintaan di institusi tahfiz seperti Darul Quran serta sekolah tahfiz kerajaan negeri dan swasta.

Beliau berkata, program pengajian itu dilaksanakan sebagai menyahut seruan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik supaya sekolah tahfiz dapat diperkasakan, khasnya daripada aspek penyediaan guru tahfiz yang terlatih dan mahir dari segi pedagogi.

“Justeru, dengan penawaran program ini, ia pastinya akan membantu Kementerian Pendidikan untuk melakukan beberapa intervensi bagi memastikan pelajar tahfiz mampu berdaya saing sama ada di dunia akademik atau pasaran kerja yang semakin mencabar,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ibrahim berkata, melalui program pengajian berkenaan, lepasan tahfiz UPSI akan dapat menguasai hafazan al-Quran dan bacaan al-Quran dengan baik, mampu menguasai bentuk bacaan al-Quran yang pelbagai serta mantap dari aspek pedagogi pengajaran tahfiz dan qiraat.

Katanya, peluang keemasan itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh lepasan Diploma Tahfiz Darul Quran, Diploma Pengajian Islam, STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia )dan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) yang berkemahiran menghafaz al-Quran untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Tahfiz al-Quran dan Qiraat.

 

 

“UPSI akan menerima kumpulan pertama pelajar pada pengambilan September 2019 ini dan tempat terhad kepada 60 pelajar sahaja selepas calon disaring melalui Ujian Inventori Pemilihan Pendidik Malaysia (MEDSI), temu duga dan ujian khas (syafawi lisan) dan tahriri (bertulis),” katanya.

Program Ijazah Sarjana Muda Tahfiz dengan Pendidikan di UPSI direkabentuk oleh pakar pengajian tahfiz yang terdiri daripada pensyarah UPSI dan pakar luar dari universiti tempatan, Darul Quran, Maahad Tahfiz dan Majlis Agama Islam Perak (MAIPk).

UPSI melalui Fakulti Sains Kemanusiaan mempunyai tenaga pakar bergelar hafiz yang mendapat pendidikan dari IPT di dalam dan luar negara yang akan melatih pelajar tahfiz ini.

Ibrahim berkata, UPSI juga menyediakan kemudahan pembelajaran yang kondusif dan terkini untuk pelajar tahfiz termasuk makmal pintar al-Quran dan tahfiz, bilik pintar, bilik pembelajaran mikro dan perpustakaan yang lengkap dan moden.

Beliau berkata, calon yang berjaya mengikuti pengajian di UPSI akan diberi latihan ikhtisas pendidikan bagi melahirkan pendidik tahfiz yang profesional serta diberi peluang mengukuhkan hafazan al-Quran melalui kursus wajib i’adah al-Quran yang disediakan dalam struktur program.

Katanya, mereka juga akan diberi pendedahan pedagogi tahfiz yang istimewa dan unik seperti talaqqi musyafahah, tasmi’ dan muraja`ah.

“Pelajar juga berpeluang mendapatkan pembiayaan pengajian seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Skim Pembiayaan Huffaz bagi menampung kos pengajian.

“Kami berpandangan lepasan tahfiz UPSI mempunyai prospek kerjaya yang luas sama ada dalam bidang perguruan atau perkhidmatan lain di agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) di dalam dan luar negara, ” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts