Valet Doa: Jakim ingatkan jangan mempergunakan agama untuk habuan dunia

 

KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA BERKENAAN ISU VALET DOA

1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ingin memberi peringatan kepada umat Islam agar sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan individu atau pertubuhan yang menawarkan pakej khidmat valet doa (servis doa) di kota suci Makkah dengan harga tertentu termasuk harga diskaun.

2. Doa adalah permohonan untuk pertolongan dan bantuan oleh seorang hamba kepada Allah SWT. Islam sangat menggalakkan umatnya untuk berdoa di mana sahaja mereka berada. Doa perlu menepati syarat dan adab agar ia dimakbulkan oleh Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama’.

3. Adalah sangat tidak wajar doa dijadikan produk atau perkhidmatan komersial kerana ia mempergunakan agama untuk habuan dunia dan mencemarkan kesucian agama Islam. Hak termakbulnya doa adalah milik Allah SWT semata-semata, bukan terletak kepada manusia. Ia tidak boleh diqiyaskan dengan badal haji kerana bukan haji mabrur yang diupahkan tetapi amalan badal haji itu sendiri yang boleh menerima upah. Tidak wajar mana-mana individu menjamin doanya akan dimakbulkan Allah SWT. Pakej valet doa ini jelas menunjukkan unsur perniagaan serta menjaja dan menggunakan acara ibadah dan doa untuk tujuan perniagaan yang tidak dibenarkan oleh Islam.

4. Jakim juga menyarankan agar umat Islam memberikan maklumat kepada Jakim dan Jabatan-jabatan Agama Islam Negeri sekiranya timbul sebarang keraguan atau kemusykilan terhadap sesuatu isu seperti ini demi menjaga kemaslahatan dan kesucian Islam di negara ini.

OTHMAN MUSTAPHA
15 FEBRUARI 2017

www.indahnyaislam.my

 

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts